Ibu bapa Zayn Rayyan mohon semak keputusan gantung perbicaraan

Ibu bapa Zayn Rayyan (gambar kecil), Zaim Ikhwan dan Ismanira (tengah) hadir ke mahkamah.
Ibu bapa Zayn Rayyan (gambar kecil), Zaim Ikhwan dan Ismanira (tengah) hadir ke mahkamah.
A
A
A

SHAH ALAM – Ibu bapa kanak-kanak autism Zayn Rayyan Abdul Matin memohon Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang menolak permohonan mereka untuk menggantung perbicaraan kes, pada Isnin ini.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf selaku pemohon memfailkan notis usul permohonan itu, menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan pihak pendakwaan sebagai responden.

Menerusi notis usul yang diperolehi media, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu mendakwa, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh menolak permohonan bagi menangguhkan perbicaraan, sementara menunggu keputusan penuh notis usul bagi membatalkan kes mengabaikan kanak-kanak itu.

Mereka berkata, jika prosiding diteruskan, ia akan memberi kesan prejudis yang tidak dapat dipulihkan kerana melibatkan hak asasi serta prinsip keadilan.

"Menurut Seksyen 35(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Sesyen tidak sepatutnya meneruskan perbicaraan bermula 3 Februari ini sehingga permohonan berkenaan diputuskan oleh mahkamah,” kata mereka.

Sementara itu, menerusi afidavit sokongan yang diikrarkan, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa, penggantungan prosiding perlu dibuat oleh Mahkamah Sesyen.

Bukan itu sahaja, mereka mendakwa, permintaan itu tidak dibantah oleh pihak pendakwaan selain mengakui permohonan bagi membatalkan pertuduhan perlu diputuskan terlebih dahulu.

“Tidak wajar dan amat merugikan jika kedua-dua proses perbicaraan dan notis usul untuk membatalkan kes diteruskan serentak.

“Kami mencabar pertuduhan tersebut kerana ia cacat dan tidak berasas untuk dibicarakan,” kata mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia berserta tambahan kepada hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.

Pada 21 Januari lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pertuduhan tersebut.

Mereka memohon dilepaskan dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan, kerana mendakwa caj berkenaan tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 28 Januari lalu, Syahliza mengarahkan perbicaraan kes mengabai kanak-kanak autisme, itu diteruskan mengikut jadual asal bermula Isnin minggu depan.

Hakim itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan pembelaan yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira untuk melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada Febuari dan Mac ini.

Syahliza berkata, memandangkan notis usul yang difailkan suami isteri itu belum didengar di Mahkamah Tinggi, maka prosiding perbicaraan akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!