Semak semula tindakan terhadap Dr Afif

Pergaduhan berlaku di luar dewan selepas tamat Sesi perbahasan dan usul Kongres AMK di MITC Disember lalu. Gambar kecil: Dr Afif
Pergaduhan berlaku di luar dewan selepas tamat Sesi perbahasan dan usul Kongres AMK di MITC Disember lalu. Gambar kecil: Dr Afif
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Lembaga Disiplin PKR perlu menyemak semula tindakan mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Dr Afif Bahardin berhubung dakwaan melakukan sabotaj pada Kongres AMK tahun lalu.

Naib Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Amir Ghazali berkata, lembaga disiplin parti perlu berbincang sebelum sebarang tindakan diambil.

Menurutnya, sumbangan masa dan tenaga Dr Afif yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh kepada kejayaan PKR Pulau Pinang tidak boleh disangkal dengan surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin.

"Lembaga disiplin juga harus memperhalusi, memahami sifat dan jiwa anak muda yang amat bertenaga, agresif dan aktif, mudah terperangkap dalam kelompok kerana sesuatu yang normal bagi sesebuah organisasi yang dinamik.

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan 'pemerhati tidak sah' punca kecoh

"Oleh itu, kami sebahagian pimpinan PKR terpanggil untuk memberi solidariti kepada Dr Afif," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Amir berkata, beliau telah menghantar surat kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Disiplin PKR supaya mengambil kira perkara berkenaan.

Semalam media melaporkan Dr Afif yang juga Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang terkilan selepas menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin yang mendakwa beliau melakukan kesalahan ketika kongres tahun lepas.

Menurutnya, surat tunjuk sebab itu diterima petang semalam dan kali pertama perkara itu dibangkitkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam Notis Tunjuk Sebab PKR bertarikh 20 Februari dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Displin PKR, Ahmad Kasim itu Dr Afif didakwa melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan dan pergolakan pada Kongres Nasional AMK 2019.

Kongres itu berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh pada 6 Disember tahun lepas.

Dr Afif berkata, sebelum ini tiada sebarang komunikasi yang memaklumkan beliau melakukan kesalahan sejak kongres itu.

Katanya, beliau tidak lagi berada dalam barisan kepemimpinan parti dan kehadirannya ke kongres itu hanya sebagai pemerhati yang telah diberikan pelepasan oleh sekretariat parti.