AMK Selangor lapor polis berhubung ugutan bunuh terhadap PM

Muhammad Afif (tengah) menunjukkan laporan polis yang di buat AMK Selangor berhubung ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri di IPD Shah Alam pada Isnin. Gambar kecil: tangkap layar ugutan yang dimuat naik di Facebook individu terbabit.
Muhammad Afif (tengah) menunjukkan laporan polis yang di buat AMK Selangor berhubung ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri di IPD Shah Alam pada Isnin. Gambar kecil: tangkap layar ugutan yang dimuat naik di Facebook individu terbabit.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang dibuat seorang individu terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media sosial pada Isnin.

Setiausaha Kerja AMK Selangor, Muhammad Afif Abdullah berkata, hantaran berunsur ugutan terutamanya ugutan bunuh sebegini seharusnya tidak berlaku dan ia tidak mencerminkan kematangan dalam berpolitik.

"Jelas sekali apa yang berlaku ini menunjukkan tahap ketaksuban yang tinggi individu berkenaan sehingga sanggup memuat naik kata-kata sedemikian.

"Seharusnya sebagai individu yang waras, dia harus faham, pilihan raya negeri (PRN) yang dijalankan ini melibatkan negeri-negeri terlibat dan bukannya persekutuan, sekali gus apa yang dilontarkan ini mencerminkan sikap tidak matang individu berkenaan," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada Isnin.

Beliau berkata, seharusnya suasana selepas PRN ini perlu dalam keadaan harmoni dan penumpuan usaha ke arah pembinaan negara.

"PRN sudah pun berlalu dan tumpuan seharusnya perlu kepada agenda pembinaan negara, namun apa dikesalkan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh mengambil kesempatan menghamburkan kata-kata sebegini.

"Saya menggesa polis agar mengambil tindakan tegas dengan memastikan agar ugutan-ugutan sebegini tidak lagi berlaku pada masa akan datang," katanya.

Pada Isnin, tular tangkap layar berkaitan satu ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri dipercayai berkaitan PRN baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Individu terbabit dipercayai memuat naik hantaran berkenaan menerusi halaman Facebook sebelum ia ditangkap layar oleh netizen dan kemudiannya menjadi tular di media sosial.