MB Selangor semak semula isu batal lantikan tetap

Amirudin (dua kanan) ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu Yayasan Selangor di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Amirudin (dua kanan) ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu Yayasan Selangor di sebuah hotel di sini pada Selasa.
A
A
A

SUBANG JAYA - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan menyemak semula kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang kesal dengan tindakan kerajaan Selangor membatalkan Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak berkhidmat lebih 15 tahun.

Amirudin berkata, perkara itu akan disemak semula dengan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam perjumpaan akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau juga akan mengenal pasti semula dasar yang dipertimbang dan dilaksanakan.

"Saya semak balik dengan keputusan MMKN sebab hari Jumaat ini saya ada dengan MMKN dan saya hendak kenal pasti balik apa dasar yang telah dipertimbangkan dan dilaksanakan.

"Sebab apa yang saya faham dari kenyataan itu adalah automatik mendaftarkan mereka yang telah bekerja 15 tahun, kalau tidak silap saya tetapi saya akan mendapatkan pengesahan terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Rancangan Strategik Pendidikan Negeri Selangor dan Logo Baharu Yayasan Selangor di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Pada Selasa, media melaporkan tindakan kerajaan Selangor membatalkan serta-merta Dasar Pelantikan Tetap Penjawat Awam Bertaraf Kontrak yang berkhidmat melebihi 15 tahun seperti diputuskan sebelum ini, memberi gambaran kerajaan negeri tidak prihatin dengan kebajikan penjawat awam.

Susulan itu, Cuepacs yang kecewa dan kesal dengan tindakan kerajaan Selangor dan mahu Amirudin mempertimbangkan semula keputusan ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat dilaporkan berkata, lebih mengecewakan pihaknya apabila pembatalan itu turut membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini memutuskan pegawai lantikan secara kontrak perkhidmatan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun boleh dilantik secara tetap mulai 1 Julai 2016 tertakluk memenuhi syarat ditetapkan.

Cuepacs difahamkan kerajaan Selangor melalui MMKN pada 20 Julai 2016 bersetuju mengguna pakai surat edaran JPA berhubung panduan pengambilan pegawai lantikan kontrak untuk tujuan pelantikan tetap.