Isu WBB: PPTD bidas dakwaan KJ

Tangkap layar dakwaan Khairy mengenai isu WBB dalam podcast Keluar Sekejap pada Selasa. (Gambar kecil: Awang Alik)
Tangkap layar dakwaan Khairy mengenai isu WBB dalam podcast Keluar Sekejap pada Selasa. (Gambar kecil: Awang Alik)
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) membidas dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa pegawai bidang berkenaan hanya 'sekumpulan individu yang melihat jam pada helaian Excel' tanpa memahami realiti sebenar yang berlaku dalam sektor kesihatan.

Presidennya, Datuk Awang Alik Jeman berkata, tuduhan tersebut yang dikaitkan dengan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) tidak berasas sama sekali, malah tidak menggambarkan proses sebenar penggubalan dasar kerajaan.

Sebaliknya, menurut Awang, pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) sentiasa memainkan peranan yang profesional berasaskan data dan mengambil kira realiti operasi dalam merangka atau melaksanakan dasar termasuk sektor kesihatan.

"Dakwaan PTD gagal memahami cabaran sektor kesihatan bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan.

"Semua pihak perlu lebih memahami proses rumusan dasar sebelum membuat kenyataan yang mampu mengelirukan rakyat.

"Kerjasama pihak berkepentingan termasuk pegawai perubatan dan PTD adalah kunci dalam memastikan sebarang dasar yang diperkenalkan benar-benar memanfaatkan semua orang tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan awam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan Khairy mengkritik proses pembuatan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sambil menegaskan bahawa ia dilaksanakan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai operasi hospital.

Dakwaan itu dibuat menerusi siaran podcast Keluar Sekejap episod 141 bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang disiarkan di Youtube, Spotify dan Apple Podcast pada Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Awang berpandangan, tidak adil untuk menuding jari kepada PTD semata-mata tanpa melihat keseluruhan proses dan faktor yang mempengaruhi pelaksanaan sesuatu dasar.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, ini kerana setiap pelaksanaan perkara baharu pasti menghadapi cabaran dan ruang penambahbaikan.

Tambah Awang lagi, pelaksanaan WBB bukan dibuat sewenang-wenangnya kerana ia melalui sesi libat urus menyeluruh.

"Pelaksanaan dasar ini turut dipandu oleh kajian mendalam dan amalan terbaik antarabangsa yang mengambil kira kesejahteraan pegawai perubatan tanpa menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

"Sebagai penjawat awam yang terlatih dalam pembangunan dasar, PTD bertanggungjawab memastikan keputusan dibuat berasaskan bukti dan kajian menyeluruh," ujarnya.

Awang turut menjelaskan, kenyataan KKM bahawa WBB adalah dasar yang dirangka oleh doktor untuk doktor dan bukannya ditentukan secara unilateral melalui PTD di Putrajaya membuktikan dakwaan golongan itu tidak memahami realiti sektor kesihatan adalah tidak tepat.

"PTD sudah lama menjadi tunjang dalam membangunkan dasar utama negara termasuk sektor kesihatan.

"Kejayaan sistem kesihatan awam Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah hasil kerjasama erat golongan profesional kesihatan dan PTD agar dasar diperkenalkan seimbang serta mampan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!