Batalkan WBB mengecewakan tapi sudah dijangka - Galen Centre

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk membatalkan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) yang dicadangkan bagi pekerja kesihatan mengecewakan, namun sudah dijangka memandangkan bantahan kuat dan kekurangan sokongan daripada pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Eksekutif The Galen Centre for Health and Social Policy (Galen Centre), Azrul Mohd Khalib berkata, keputusan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memberi laluan kepada kajian lebih mendalam dan menyeluruh diterima baik.
Beliau berkata, pasukan dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Abu Bakar Suleiman itu merupakan peluang penting untuk menangani masalah besar ini kerana ia bukan hanya melibatkan pampasan adil dan penjadualan waktu bekerja yang lebih baik semata-mata.
"Ia lebih daripada itu. Masalah tenaga kerja yang berlarutan ini mesti diakui dan ditangani dengan serius, kerana beban kerja yang tidak terkawal dan keletihan semakin memaksa kakitangan keluar daripada perkhidmatan.
"Isu ini bukan hanya melibatkan doktor, tetapi turut memberi kesan kepada pekerja kesihatan lain seperti jururawat. Baru-baru ini, jururawat turut membangkitkan isu minggu kerja 45 jam di bawah sistem giliran SSPA.
“Bagaimana dengan mereka? Setiap hari, ramai doktor, pakar, dan jururawat meletakkan jawatan kerana beban kerja yang tidak tertanggung. Bagaimana kita hendak memastikan perkhidmatan kesihatan dapat terus menyediakan penjagaan berkualiti dan selamat kepada pesakit di tengah-tengah beban kerja yang berlebihan, kekurangan tenaga kerja, jadual yang membebankan dan permintaan yang semakin meningkat?
"Doktor yang letih lebih cenderung untuk membuat kesilapan. Ia akan menjadi tidak selamat dan tidak berdaya maju. Kita memerlukan penyelesaian dan cadangan jangka panjang, serta sumber daya dan kehendak politik untuk melaksanakannya. Pasukan petugas ini seharusnya tidak mengambil lebih daripada enam bulan untuk menyelesaikan tugasnya," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Jumaat memaklumkan, projek rintis WBB dibatalkan bagi memberi laluan kepada kajian yang lebih mendalam dan menyeluruh.
Beliau berkata, Jemaah Menteri memutuskan perkara tersebut selepas mengambil kira pertimbangan dan pandangan semua pihak.
Sementara itu, Azrul turut menggesa supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneliti segera permintaan untuk kenaikan elaun waktu bertugas yang lebih saksama bagi semua pekerja kesihatan memandangkan ia masih belum terjawab.
Menurutnya, ini kerana kadar elaun semasa yang diterima ketika ini hanya RM9.19 sejam dianggap sangat rendah.
"Kerajaan mesti bertindak segera untuk menangani krisis tenaga kerja dalam perkhidmatan kesihatan, dan lebih penting lagi, perlu mendengar dan berunding secara ikhlas dengan pekerja kesihatan yang terlibat.
"Tanpa langkah yang berkesan, masa depan kualiti perkhidmatan kesihatan negara akan terus terancam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!