Tahun Baharu Cina: Mualaf rai makan besar bersama pelbagai bangsa

Lebih 20 mualaf pelbagai bangsa meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina dengan menghadiri tradisi makan besar diadakan di sebuah restoran di Kuala Terenganu pada malam Selasa.
Lebih 20 mualaf pelbagai bangsa meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina dengan menghadiri tradisi makan besar diadakan di sebuah restoran di Kuala Terenganu pada malam Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Inisiatif seorang mualaf meraikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dengan menjemput pelbagai bangsa menyertai tradisi makan besar menyatukan semangat muhibah antara kaum.

Jamuan yang diadakan di sebuah restoran pada malam sambutan perayaan itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 20 tetamu.

Menurut seorang mualaf, Nur Khaalishah Shandlaysnie, 38, sudah menjadi kebiasaan jamuan itu diadakan hampir saban tahun dengan menjemput pelbagai bangsa untuk turut sama menikmati hidangan disediakan.

"Saya memang biasa jemput mereka datang memandangkan kebanyakan mualaf di sini adalah kaum Cina, termasuk tenaga pengajar atau ustaz yang membimbing kami di sini.

"Jadi, sempena tradisi makan besar malam tadi, saya adakan di sebuah restoran dan jemput lebih 20 orang termasuk mualaf berbangsa India untuk sama-sama menikmati hidangan yang disediakan.

"Selain berkumpul beramai-ramai kita juga dapat bertanya khabar, berkongsi cerita dan dapat mengetahui perkembangan masing," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Rabu.

Nur Khaalishah berkata, antara hidangan ketika tradisi makan besar itu ialah ayam masak lemon, siakap stim, tomyam, kerabu mangga dan pelbagai lagi juadah istimewa.

Kongsinya, tradisi makan besar itu juga bagi menghargai golongan mualaf yang duduk berjauhan dengan keluarga atau yang tinggal bersendirian.

"Ada mualaf yang tiada keluarga di sini macam seorang mualaf tu kita panggil Uncle Firdaus, 58, dia tiada keluarga dan belum mendirikan rumah tangga.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, bila dapat berkumpul macam ini secara tidak langsung ia dapat mengubat kerinduan terhadap keluarga mereka," ujarnya yang telah tujuh tahun memeluk Islam.

Jelas Nur Khaalishah, kebanyakan mualaf bangsa Cina berasal dari luar Terengganu dan memilih untuk menetap di sini untuk mendalami agama Islam.

"Mereka sangat selesa tinggal di Terengganu kerana Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu) amat menjaga golongan ini.

"Layanan terhadap golongan mualaf di sini kami lihat tak sama dengan di negeri lain. Maidam sediakan kelas bimbingan dan mereka amat prihatin dengan mualaf walaupun seseorang mualaf itu telah memeluk Islam lebih lima tahun," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!