Wajar MBI kaji larangan jual arak - Pakar Undang-Undang

Laporan Sinar Harian berkaitan kajian larangan jual arak. Gambar kecil: Muhammad Fathi
Laporan Sinar Harian berkaitan kajian larangan jual arak. Gambar kecil: Muhammad Fathi
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memperluaskan kawasan larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan majoriti penduduk Melayu beragama Islam adalah wajar.

Pensyarah Undang-Undang dan Polisi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, pertamanya, memandangkan ia adalah kawasan majoriti penduduk beragama Islam sepatutnya golongan bukan Islam yang minoriti tidak perlu berkeras untuk memaksa penjualan arak di kawasan terbabit.

Katanya, ini kerana masyarakat bukan Islam hanya tidak dibenarkan menjalankan perniagaan arak, bukannya dilarang meminum arak.

“Keduanya, keputusan itu juga dibuat selepas tinjauan oleh MBI dengan melihat jumlah tuntutan yang disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan.

“Ia bukan langkah semborono dan diktator malah kawalan itu dibuat selepas wujud bantahan kuat daripada penduduk. Ringkasnya tindakan itu berasaskan amalan demokratik,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, yang ketiga, arak adalah isu yang sensitif bagi umat Islam kerana ia berkaitan usaha membina persekitaran yang sihat untuk generasi anak-anak termasuk remaja.

“Para pemimpin sama ada Islam atau bukan Islam, perlu menyedari prinsip ini. Alangkah sedih, bila menteri pun gagal memahami soal sensitiviti umat Islam, lebih-lebih lagi sebagai menteri yang memegang portfolio kerajaan tempatan.

“Walaupun beliau tiada kuasa memberikan arahan, namun komen itu terlalu berat sebelah dan mendedahkan kesombongannya,” ujarnya.

Jelas Muhammad Fathi, soal hak untuk membuka perniagaan arak tidak ada kaitan dengan kebebasan beragama bukan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Menjalankan perniagaan arak bukan perintah mana-mana agama. Jika ada pihak yang terlalu terdesak kerana ketagihan arak, mereka boleh sahaja menuju ke tempat lain di luar kawasan majoriti Muslim untuk mendapatkan arak. Jadi usah kaitkan isu ini dengan kebebasan beragama bukan Islam,” katanya.

Beliau menambah, alasan bahawa penjualan arak tidak boleh dikawal oleh pihak berkuasa tempatan (PBT ) memandangkan ia adalah komoditi yang sah kerana disebut dalam undang-undang berkaitan percukaian dan lain-lain, adalah satu alasan yang dangkal.

“Sesuatu barangan yang dikenakan cukai, tidak bermakna tidak boleh dikawal oleh undang-undang lain. Kita ada undang-undang berkaitan makanan, farmasi, racun, produk tembakau dan lain-lain yang dikawal dalam pelbagai bentuk, walau pun barangan itu dikenakan cukai,” katanya.

Menurutnya, sememangnya kuasa PBT untuk mengawal premis perniagaan agar menepati keperluan, kehendak dan sensitiviti rakyat yang tinggal di sesuatu kawasan.

“Oleh yang demikian langkah kawalan ke atas penjualan arak melalui kuasa PBT adalah jelas, tepat, berperlembagaan dan tidak wajar dipertikaikan,” jelasnya.

Muhammad Fathi berkata, masyarakat mengharapkan agar Malaysia ditadbir oleh golongan yang mampu menjaga rakyat dan agama.

“Kewujudan prinsip 'Islam adalah agama Persekutuan' dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seolah-seolah tidak ada erti bagi sesetengah pihak yang begitu galak ingin membudayakan arak, hatta di kawasan majoriti umat Islam.

“Padahal isu penjualan arak di kawasan majoriti Islam ini hanya sekadar soal sensitiviti umat Islam dan keselesaan untuk bermasyarakat dalam komuniti sendiri, bukan soal menguatkuasakan undang-undang Islam ke atas bukan Islam.

“Tapi cara pihak-pihak tertentu mengulas isu ini kelihatan seolah-olah seperti masyarakat bukan Islam ditindas dan dianiaya,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!