[VIDEO] Tiada halangan MBI teruskan kajian larangan jual arak - MB

A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak menghalang Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan kajian terhadap larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya telahpun mendapatkan maklum balas daripada MBI yang menjelaskan bahawa cadangan tersebut sedang di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.

"Kerajaan negeri mengambil berat polemik yang timbul termasuk dalam kalangan parti politik susulan isu ini.

"Dalam hal ini, tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Saarani Foto fail Bernama
Saarani Foto fail Bernama

Saarani berkata, kajian yang dilaksanakan MBI itu nanti akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan Kelas Guna Tanah (KGT) yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.

Selain itu katanya, MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, tetapi mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang

dapat menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

"Kerajaan negeri menegaskan sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan mestilah selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengingatkan semua pihak bahawa pada peringkat ini, perbalahan dan pertikaian tidak sepatutnya timbul kerana ia hanya akan mencetuskan ketegangan dan kekeliruan awam.

"Semua pihak sewajarnya memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek

cadangan berkenaan," katanya.

Terdahulu, pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan MBI telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin memaklumkan, terdapat cadangan dan tuntutan supaya larangan penjualan arak dan minuman beralkohol di kawasan majoriti penduduk Melayu diperluaskan ke Tambun, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.

Pada Ahad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di semua premis perniagaan termasuk dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Ketetapan itu katanya, bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!