'Tiada keperluan jual arak di premis majoriti penduduk Islam'

SEREMBAN - Tidak ada keperluan untuk menjual minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti yang didiami oleh penduduk beragama Islam.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan bahawa perkara itu jelas, malah sesuai dengan keadaan di lokasi berkenaan.
“Ikut sahaja syarat lesen, tidak ada masalah supaya sensitiviti antara kaum itu dapat kita kekalkan, yang kita tidak setuju adalah penjualan berleluasa contohnya dijual di kawasan majoriti Islam. Apa keperluannya?
“Penjualan minumam keras tanpa kawalan ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat dan persefahaman antara kaum yang kita ada sekarang,” katanya.
Ujarnya, pembelian minuman keras tidak menjadi halangan buat mereka yang bukan beragama Islam tetapi kawasan atau tempat yang difikirkan sesuai untuk penjualan tersebut.
“Ini bukan perkara yang boleh mengugat kaum lain, ini normal. Rasionalnya kawasan majoriti Islam contohnya perkampungan atau perumahan yang majoriti Islam, itu nampak tidak logik untuk kita jual,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan perlu adanya kajian semula peraturan dan syarat pengeluaran lesen berkaitan penjualan minuman keras supaya ia diperketatkan bagi mengelakkan isu berbangkit khususnya kepada orang Islam.
Pada Ahad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilaporkan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Menurutnya, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
