MBJB teliti dasar penjualan arak jika ada aduan awam

Mohd Haffiz
Mohd Haffiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melihat kesesuaian dasar berhubung penjualan minuman keras di premis perniagaan di kawasan pentadbirannya jika terdapat aduan awam.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, kesesuaian dasar itu akan dilihat dari masa ke masa bergantung kepada aduan awam yang diterima.

Menurutnya, dari segi lesen penjualan arak termasuk 'liquor' dan 'wine' terutama lesen arak runcit atau borong berada di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah.

"MBJB bertanggungjawab memberi ulasan kepada kesesuaian lokasi sesuatu aktiviti penjualan arak dijalankan terutama dari segi pematuhan radius 200 meter dari kawasan perumahan, institusi pendidikan dan rumah ibadat.

"Kita akan menyemak sama ada lokasi yang dipohon (penjualan arak) mempunyai sebarang aduan awam termasuk dari segi kacau ganggu dan sebagainya.

"Kita tiada halangan menyokong perkara ini (penjualan arak), jika ia memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB yang pertama tahun ini di Menara MBJB, di sini pada Isnin.

Pada Ahad, pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mengekalkan dasar sedia ada berhubung isu penjualan arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum, serta mengelakkan isu itu menjadi polemik politik.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilapor akan mengkaji pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!