Pemilik syarikat didenda RM188,000 tipu pemohon HUK PERKESO

Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Butterworth, pada Isnin.
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Butterworth, pada Isnin.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pemilik syarikat didenda RM188,000 di Mahkamah Sesyen, di sini selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan pilihan menipu lima pemohon berhubung tuntutan Hilang Upaya Kekal (HUK) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Afizal Mohd Akhirudin, 33, selepas mengaku bersalah kesemua pertuduhan dan fakta kes yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut semua pertuduhan pilihan, lelaki yang juga pemilik syarikat Jentayu Tujuh Venture didakwa menipu lima pemohon dengan memperdayakan mereka untuk mempercayai dia boleh menguruskan peratusan tafsiran penilaian HUK yang tinggi oleh jemaah doktor dalam tuntutan PERKESO dengan syarat tertentu.

Berikutan itu, tindakan tertuduh menyebabkan semua pemohon diperdaya dan menyerahkan wang berjumlah RM188,000 dimasukkan dalam akaun Maybank syarikat Jentayu Tujuh Venture.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Seberang Jaya dalam daerah Seberang Perai Tengah antara 2017 hingga 2023.

Pendakwaan mengikut pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala tertuduh diwakili peguam M Puveneswaran.

Ketika prosiding, Puveneswaran merayu denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan perlu menyara ibu bapa kerana bapanya mempunyai masalah jantung.

"Ini kesalahan pertama dilakukan anak guam malah dia juga telah insaf.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya juga telah menandatangani borang akur janji tidak akan mengulangi kesalahan ini pada masa depan," katanya.

Mahkamah kemudian mengenakan hukuman denda RM188,000 terhadap semua pertuduhan dihadapi dan jika gagal membayarnya, tertuduh berdepan penjara 54 bulan.

Difahamkan tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan sebelum meninggalkan mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!