Lelaki mengaku bersalah miliki 47 laras senjata, peluru tiruan

Wan Ahmad Al Hafiz (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas pertuduhan memiliki 47 laras senjata tiruan pelbagai model dan peluru tiruan. FOTO: SINAR HARIAN.
Wan Ahmad Al Hafiz (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas pertuduhan memiliki 47 laras senjata tiruan pelbagai model dan peluru tiruan. FOTO: SINAR HARIAN.
A
A
A

KUANTAN- Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan pada Jumaat atas pertuduhan memiliki 47 laras senjata tiruan pelbagai model dan peluru tiruan di sebuah rumah di Inderapura Jaya, di sini.

Tertuduh, Wan Ahmad Al Hafiz Wan Ali, 36, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Mengikut kertas pertuduhan, Wan Ahmad Al Hafiz didakwa memiliki 47 laras senjata tiruan termasuk beberapa model menyerupai senjata automatik seperti MK 95.0 Sub Machine Gun, MA-Series Assault Rifle, SCAR Gel Blaster, dan AK-Series 47 serta peluru tiruan jenis jelly.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kuantan-Pekan, di sini jam 8.40 malam pada 2 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya, B Deevagaran Naidu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhamad Saifudin Ab Rahman meminta jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak lagi berniaga, selain mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 20 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta penjatuhan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!