Pengajaran daripada isu Harith Iskander

Tindakan pelawak dan pelakon Harith Iskander memuat naik isu berkaitan agama baru-baru ini telah mendapat perhatian ramai. Perkara ini mencetuskan kontroversi kerana jenaka yang dikongsikan melibatkan isu sensitif dan tidak sepatutnya berlaku.
Mungkin Harith berniat untuk berjenaka tanpa sengaja tetapi tindakannya itu jelas tersasar. Menjadikan isu agama sebagai bahan jenaka adalah kesilapan besar yang tidak seharusnya dilakukan oleh sesiapa, apatah lagi seorang pelawak senior yang dihormati oleh ramai.
Sebagai pelawak berpengalaman, Harith sepatutnya lebih peka dan bijak dalam membezakan yang mana sesuai dan tidak sesuai dijadikan bahan jenaka. Malangnya, tindakan ini mencerminkan sikap kurang berhati-hati, seolah-olah seperti pelawak yang masih baharu dalam industri.
Wajar bagi setiap individu untuk memahami had dalam berjenaka, terutama apabila melibatkan isu agama. Perkara ini perlu dijadikan pengajaran, bukan sahaja oleh Harith, tetapi juga oleh semua pelawak, bakal pelawak, dan individu yang aktif di media sosial. Setiap individu perlu lebih bertanggungjawab dalam apa yang mereka kongsikan.
Setiap perkongsian yang kita buat haruslah disaring dengan teliti agar tidak menyinggung perasaan atau menyentuh perkara yang boleh mencetuskan perbalahan. Dalam kes ini, laporan polis telah dibuat dan siasatan akan dilakukan.
Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron, menegaskan bahawa perlu ada garis panduan dan batasan yang jelas dalam berjenaka, khususnya apabila melibatkan sensitiviti agama. Beliau menyatakan bahawa bahan jenaka yang tidak sesuai boleh mencetuskan kekeliruan serta merosakkan kesucian ajaran Islam.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee turut menekankan kepentingan menghormati batasan ini. Beliau berkata, sebagai umat Islam, kita mesti peka terhadap perkara yang melibatkan halal dan haram walaupun ia dianggap gurauan oleh sesetengah pihak.
Sensitiviti penting untuk mengelakkan fitnah dan menjaga keharmonian masyarakat. Sebelum membuat lawak, pastikan ia tidak melanggar batas.
Jenaka yang baik adalah jenaka yang menghibur tanpa menyentuh isu-isu sensitif yang boleh melukai perasaan orang lain. Kita semua perlu mengutamakan rasa hormat dan saling memahami.
Dengan menggunakan akal dan kebijaksanaan, mesej yang disampaikan bukan sahaja mampu menghibur tetapi juga membawa manfaat yang lebih besar kepada semua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
