Terima ugutan bunuh punca Harith Iskander batal persembahan di DFP

Harith Iskander
Harith Iskander
A
A
A

PELAWAK terkenal, Harith Iskander terpaksa membatalkan program 'Punchline: Harith Iskander 35 Years of Laughter' di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) susulan beliau dan ahli keluarga menerima ancaman bunuh.

Perkara itu didedahkan bekas isteri Harith, Dr Jezamine Lim yang memaklumkan keluarganya telah menerima ancaman sangat kejam terutama terhadap keselamatan anak mereka dan pihaknya sudah membuat laporan polis.

"Disebabkan ancaman dan serangan dalam talian tanpa henti daripada individu tertentu, kami dan pihak DFP bersetuju untuk membatalkan persembahan ini demi keselamatan semua pihak.

"Keputusan ini tidak mudah kerana Harith telah melakukan persiapan dan bekerja keras selama berbulan-bulan untuk acara ini. Membatalkan persembahan ini sangat mendukacitakan, bukan sahaja buat Harith tetapi juga anak-anak kami.

"Ini kerana Zander dan Zydane sepatutnya turut terlibat dalam persembahan tersebut," kata pengurus Harith itu menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.

Dr Jezamine berkata, beliau bukan sahaja kesal dengan pembatalan program berkenaan, tetapi mempersoalkan mentaliti sesetengah individu yang bertindak melampau.

"Saya berharap satu hari nanti anda akan temui ketenangan dalam diri anda.

"Saya harap suatu hari nanti hati anda akan lembut dan anda akan faham bahawa tenaga yang anda gunakan untuk menyebarkan kebencian boleh digunakan untuk menyebarkan kasih sayang, empati dan perkara positif.

Artikel Berkaitan:

"Karma akan kembali kepada anda mengikut apa yang anda berikan. Kepada individu yang menyiarkan komen kemarahan dan mencetuskan kemarahan ini, saya harap anda bertanggungjawab," katanya.

Semalam, DFP mengumumkan pembatalan persembahan pelawak itu dan memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.

Sebelum ini, Harith mencetuskan kontroversi selepas hantarannya di media sosial yang cuba membuat jenaka mengenai topik ham, mengundang kecaman netizen terutama dalam kalangan umat Islam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!