Program ‘stand-up comedy’ Harith Iskander malam esok batal - DFP

SHAH ALAM - Dewan Filharmonik Petronas (DFP) membatalkan program komedi berdiri DFP Punchline Harith Iskander: 35 Years of Laughter yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini.
DFP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku.
"Kami memohon maaf dan terima kasih di atas pemahaman serta sokongan berterusan anda," katanya pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, pembeli tiket boleh membuat pertukaran dengan konsert lain atau memohon pemulangan semula wang.
"Pihak pengurusan DFP dengan dukacitanya mengumumkan pembatalan rancangan komedi oleh Harith Iskander di bawah siri DFP Punchline yang dijadualkan berlangsung jam 8 malam esok.
"Tiket boleh ditukar dengan mana-mana konsert DFP atau Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) lain dalam musim ini.
"Bayaran balik boleh dibuat melalui kaedah pembayaran asal yang digunakan semasa pembelian.
"Semua pertukaran atau permintaan bayaran balik hendaklah dibuat selewat-lewatnya 8 Februari ini," katanya pada Jumaat.
Pembatalan program tersebut dipercayai berkait rapat dengan isu pelawak berkenaan yang sedang hangat diperkatakan di media sosial.
Pada Sabtu lalu, Harith Iskander, 54, didakwa memuat naik hantaran dengan sekeping gambar menunjukkan secawan Ham Sap Kopi berharga RM5.50 beserta kapsyen.
“I am so confused. My iman tergugat. This kopi will lead me down the wrong path in so many ways. Not just tempting me to become hamsap but also confusing me with the word ‘ham’ in it. Ni untuk minum atau makan?
“I must make a police report because I am so weak I have lost all ability to use logic. Who else is confused," ujarnya.
Kemudiannya dikomen oleh Cecelia Yap Song KL dengan kenyataan: “All names with Mohammad... got to be renamed then".
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!