Armada desak PDRM siasat Harith Iskander, Cecelia Yap

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pelawak Harith Iskander serta pengendali akaun Facebook bernama Cecilia Yap Song KL.
Ia berikutan kedua-duanya didakwa memuat naik hantaran dan komen berbaur penghinaan terhadap agama Islam susulan penggunaan terma ham pada sandwic yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
Exco Armada Bersatu, Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin berkata, perkembangan siasatan juga perlu dihebahkan kepada umum memandangkan isu terbabit bersifat kepentingan awam.
Menurut beliau, tindakan perlu dibuat segera demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kedua-dua hantaran merujuk isu penggunaan terma ham (makanan berasaskan babi). Namun, komen Cecilia Yap Song KL yang mengaitkan nama junjungan besar Nabi Muhammad SAW satu tindakan bersifat menghina Islam dan melampaui batas amalan hak kebebasan bersuara.
“Puluhan laporan polis terhadap perkara ini dipercayai dilakukan oleh pelbagai pihak di seluruh negara. Islam agama yang terpelihara dan termaktub dalam Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan.
“Maka, ia mesti dipelihara oleh seluruh rakyat Malaysia dengan menjauhi tindakan menghina atau mempersendakannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Selasa lepas, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar memaklumkan, pihaknya menerima tiga laporan berhubung perkara berkenaan dan memberi amaran keras terhadap mana-mana pihak yang memainkan sentimen raja, agama dan kaum (3R) di media sosial.
Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi di bawah undang-undang sedia ada akan diambil kepada sesiapa yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.
Jelas beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kenyataan dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.
Difahamkan, kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan pelanggan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

