Isu beras putih tempatan: KPKM tegur Syed Abu Hussin

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegur Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal agar merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan isu beras putih tempatan (BPT) sebelum mengeluarkan kenyataan.
Tegas kementerian itu, langkah tersebut bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat.
"KPKM menegaskan setiap isu berkaitan padi dan beras hendaklah dirujuk kepada pihak autoriti supaya rakyat mendapat maklumat tepat," kata kementerian itu dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah KPKM, pihaknya sentiasa berusaha mencari penyelesaian terbaik melalui pelaksanaan reformasi industri padi dan beras secara menyeluruh untuk meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.
"Langkah-langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberadaan BPT di pasaran akan dimaklumkan setelah perincian mengenainya dipersetujui oleh kerajaan," jelas KPKM.
Selasa lalu, Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyifatkan Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.
Dakwanya lagi, Mohamad tidak bertanggungjawab untuk serius menangani isu keterjaminanan makanan itu untuk rakyat selain peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras dilihat tidak berkesan dalam membantu menteri mencari penyelesaian dan hanya menjanjikan kajian demi kajian yang tidak ada kesudahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!