Aduan kesalahan harga antara tertinggi - KPDN Terengganu

KUALA NERUS - Aduan kesalahan harga melibatkan barangan dan perkhidmatan antara tertinggi diterima di Terengganu daripada orang ramai sejak awal tahun hingga Khamis lalu.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Sakhri Mohd Salleh berkata, kesemua aduan telah disiasat dan pihak syarikat atau perniagaan telah diberikan notis bagi mengemukakan maklumat lanjut berhubung perkara tersebut.
"Sebanyak 40 aduan diterima melibatkan pelbagai kesalahan di Terengganu sejak 1 Januri 2025 hingga 23 Januari 2025.
"Aduan mengenai kesalahan melibatkan harga antara tertinggi diterima iaitu sebanyak 18 kes; transaksi dalam talian (7 kes); barang kawalan (5 kes); perkhidmatan mengelirukan (4 kes) selain bengkel kenderaan bermotor; barang tiruan; perihal perdagangan palsu; sewa beli kenderaan, jualan kredit dan jualan langsung masing-masing sebanyak satu kes.
"Daerah Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi aduan diterima iaitu sebanyak 19 aduan, Besut dan Dungun masing enam aduan; Hulu Terengganu (lima aduan) dan Kemaman (empat aduan).
"Kesemua aduan itu diterima melalui portal aduan rasmi KPDN serta menerusi panggilan telefon dan WhatsApp," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.

Turut hadir, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman.
Sementara itu, Ariffin berkata, seramai 118 pegawai penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau harga KPDN Terengganu akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2025.
Menurutnya, ia melibatkan kawasan beli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut.
"Kita berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut.
"Mana-mana peniaga melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda," jelas beliau.
SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 berlangsung selama sembilan hari dan sebanyak 15 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim kali ini antaranya ikan bawal putih, udang putih, halia tua (import), babi hidup dan cili merah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!