Ejen hartanah rugi lebih RM100,000 terpedaya tawaran kerja sambilan

KULAI - Seorang ejen hartanah hanya mampu menggigit jari apabila mengalami kerugian RM118,150 baru-baru ini gara-gara terpedaya dengan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, berdasarkan laporan yang diterima, wanita berusia 47 tahun itu tertarik dengan kerja sambilan tersebut iaitu menerima tempahan daripada pelanggan menerusi sebuah laman web.
Malah katanya, mangsa teruja selepas dijanjikan keuntungan 20 peratus iaitu RM1,000 dalam tempoh sehari dan wang keuntungan akan terus dikreditkan ke akaun mangsa.
“Akibat tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah melakukan lima kali transaski pembayaran berjumlah RM118,150 ke dua akaun bank tempatan mulai 11 hingga 17 Januari lalu.
“Mangsa kemudiannya telah membuat semakan pada akaun miliknya dan mendapati keuntungan yang diperoleh adalah sebanyak RM34,809 namun apabila mangsa cuba membuat pengeluaran wang tersebut, didapati akaun tersebut telah disekat.
“Mangsa kemudiannya membaut laporan polis apabila mengesyaki dirinya telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu pelaburan tidak wujud.
Jika sabit keslahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.
‘
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!