Guru buat kerja sambilan pendidikan disaran maklum ketua jabatan

SHAH ALAM - Guru yang melakukan kerja sambilan berkaitan pendidikan seperti mengadakan kelas tuisyen disaran supaya memaklumkan kepada ketua jabatan iaitu guru besar atau pengetua sekolah masing-masing.
Hal ini kerana berpandukan pekeliling pada 2023, guru yang membuat kerja sambilan perlu memohon kebenaran daripada pengarah pendidikan negeri selaku pendaftar.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berpandangan, kategori kerja sampingan yang perlu mendapat kebenaran pengarah pendidikan negeri adalah kerja sambilan tidak berkaitan pendidikan misalnya kontraktor, perunding insurans atau peniaga dalam talian.
“Mereka memang boleh kata tidak menjejaskan waktu kerja, tetapi akan ada sedikit gangguan ketika masa senggang. Kadang-kadang jika pihak sekolah panggil, mungkin mereka cari alasan. Itu isunya.
“Setakat ini walaupun buat kerja sambilan, mereka masih mampu melaksanakan tugas hakiki dari jam 7.30 pagi hingga 3.30 petang. Itu tiada masalah.
“Ada juga antara guru yang mampu memberikan sumbangan kepada sekolah dan murid sebab ada pendapatan lebih melalui kerja sambilan. Jadi, tak boleh kata ia perkara negatif, ada pro dan kontra,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan guru yang ingin melakukan kerja sambilan perlu mendapatkan kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Jelasnya, apa sahaja kerja sambilan yang dibuat tidak boleh dilakukan semasa menjalankan tugas hakiki.
Ditanya mengenai punca guru melakukan kerja sambilan, Fouzi berkata, sudah menjadi kebiasaan manusia untuk mengerjakan dua tugasan dalam satu masa dan bukan disebabkan gaji sebagai pendidik tidak mencukupi.
Tambahnya, selagi waktu tugas hakiki tidak terjejas atau digunakan untuk melakukan kerja lain, tiada masalah asalkan maklum kepada ketua jabatan.
“NUTP harap perkara ini boleh dikawal kerana kita tidak mahu ada guru yang ambil kesempatan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!