Larangan rentas sempadan guna pangkalan haram demi kebaikan Malaysia-Thailand

Saifuddin Nasution (tengah,duduk) semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada Jumaat. - FOTO: SINAR HARIAN
Saifuddin Nasution (tengah,duduk) semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada Jumaat. - FOTO: SINAR HARIAN
A
A
A

JELI - Kementerian Dalam Negeri menegaskan larangan merentas sempadan menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok yang bermula pada 1 Disember lalu adalah untuk kebaikan buat Malaysia dan Thailand.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara tersebut telah disampaikan oleh beliau semasa mengadakan pertemuan tertutup dengan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Dalam Negeri Thailand.

"Saya telah sampaikan kepada mereka bahawa ini (larangan rentas sempadan guna pangkalan haram) adalah untuk kebaikan kedua-dua negara berjiran.

"Bahawa isu keselamatan tidak boleh di kompromi. Penting untuk saya memainkan peranan memberikan kefahaman daripada perspektif keselamatan ketika kita menjalinkan hubungan berjiran," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Projek Membina Bangunan Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Ibrahim Esa.

Beliau percaya langkah yang diambil oleh Mohd Yusoff itu telah menunjukkan keberkesanan dalam tempoh yang singkat apabila berjaya mengekang aktiviti penyeludupan.

Ujarnya, pihak polis akan terus melakukan pemantauan dan beliau akan sentiasa memberikan dorongan kepada langkah terbabit.

Saifuddin Nasution memberitahu, kewujudan pangkalan haram di sepanjang lebih 100 kilometer Sungai Golok dari Jeli ke Tumpat sudah berlaku lebih sedekad lamanya.

Artikel Berkaitan:

"Ia menjadi punca kepada pelbagai aktiviti penyeludupan sama ada dari segi barangan subsidi, pemerdagangan manusia, dadah dan sebagainya.

"Ini tidak boleh berterusan selamanya, jadi jika jalan tikus atau pangkalan haram yang menjadi punca kepada perkara tersebut, saya berharap keputusan diambil oleh Ketua Polis Kelantan itu harus mendapat sokongan semua," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram mulai 1 Disember.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!