Ustaz Don Duta Kebaikan Alkhair

SHAH ALAM - Alkhair Malaysia (Pertubuhan Al-Khair Malaysia) telah melantik pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid sebagai Duta Kebaikan Alkhair bagi tahun 2025.
Al-Khair dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025.
Menurutnya, pelantikan itu bertujuan untuk memperkukuhkan usaha Alkhair Malaysia dalam memperkenalkan organisasi secara lebih meluas melalui peranan duta.
“Ia juga penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aktiviti kemanusiaan dan menyampaikan mesej kebaikan kepada komuniti tempatan serta antarabangsa.
“Majlis ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi visi dan misi dalam sebar luas mesej kebaikan serta memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk terlibat dalam inisiatif kebajikan,” katanya pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Alkhair Malaysia, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan, Pengerusi Alkhair Malaysia, Azfar Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi, Agami Group Sdn Bhd, Norhana Osman Harun.
Sementara itu, menurut Azfar, dengan melantik duta kebaikan terbaharu ia bakal memberi inspirasi selain menyuntik semangat menyebarkan kasih sayang kepada golongan memerlukan.
Ujarnya, pelantikan itu sejajar dengan visi mereka iaitu menjadi rakan kemanusiaan yang memberi fokus untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Duta Kebaikan Alkhair yang baharu bakal memberi inspirasi, serta menyuntik semangat baru dalam menyebarkan kasih sayang dan harapan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!