Lelaki warga asing ditahan disyaki rogol anak tiri

TAWAU - Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia sembilan tahun dalam kejadian di bangunan kawasan ladang di sini pada Jumaat.
Lelaki warga asing berusia 32 tahun itu ditahan selepas laporan polis dibuat oleh bekas isteri suspek yang berusia 30-an di Balai Polis Kalabakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis dibuat bekas isteri suspek pada jam 10.15 pagi.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menjalankan operasi dan memberkas suspek kira-kira jam 6 petang pada hari yang sama.
"Hasil siasatan awal mendapati, suspek telah melakukan jenayah seksual terhadap mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan sejak beberapa bulan yang lalu.
"Suspek turut memberi ancaman kepada bekas isterinya bahawa dia akan mencederakan dan membunuh anak mereka sekiranya wanita itu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, mangsa sebelum ini yang dijaga oleh bapa tirinya telah menceritakan kejadian itu kepada ibunya pada 20 Januari lalu di rumahnya.
"Suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan," katanya.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai peka terhadap isu keganasan domestik dan penderaan terhadap kanak-kanak.
"Jika mempunyai maklumat mengenai jenayah seperti ini segera laporkannya kepada pihak polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!