12 warga Bangladesh menyamar pelatih Akademi Perikanan dicekup

SEPANG - Taktik sekumpulan warga Bangladesh menyamar sebagai pelatih Akademi Perikanan Malaysia terbongkar selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, seramai 12 lelaki berkenaan sebelum itu dilihat berpakaian seragam.
"Siasatan awal mendapati, kesemua individu terbabit mendakwa kedatangan mereka ke negara ini untuk tujuan lawatan sambil belajar sebagai pelatih Akademi Perikanan Malaysia.
"Mereka turut mengemukakan surat jemputan daripada sebuah syarikat yang beralamat di Kuching, Sarawak," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, bagaimanapun tindakan mencurigakan kesemua individu berkenaan kemudian dirujuk ke Pejabat Operasi Imigresen untuk semakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati, surat kemudahan yang dibawa bersama kumpulan tersebut telah disahkan tidak wujud.
"Pasukan bertugas JIM KLIA telah menahan dan segera mengeluarkan Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada semua warga Bangladesh terbabit," katanya.
Menurutnya, tindakan diambil di bawah Akta Imigresen Seksyen 28(3)(b) iaitu mengemukakan dokumen yang diminta yang disyaki palsu.
"Imigresen KLIA akan terus melaksanakan pemantauan berterusan dalam memastikan semua individu yang memasuki negara mematuhi keperluan dan piawaian yang telah digariskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!