Persatuan industri vape bimbang aktiviti penyeludupan

SHAH ALAM - Kelemahan penguatkuasaan dan proses kelulusan produk vape yang ketat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka memberi kesan negatif terhadap industri vape termasuk risiko peningkatan aktiviti penyeludupan dan pasaran gelap.
Presiden Persatuan Peruncit Peranti dan Cecair Rokok Elektronik (MRECA), Datuk Adzwan Ab Manas berkata, proses yang rumit dan mengambil masa lama untuk urusan pendaftaran produk di KKM juga boleh menyebabkan ketiadaan produk sah untuk dijual selepas 1 April 2025.
“Situasi ini berpotensi merugikan industri vape dan menggalakkan perdagangan haram. Jadi undang-undang sedia ada perlu disertai dengan penguatkuasaan yang lebih efektif dan pantas untuk memastikan pengawalseliaan produk vape berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, sememangnya aktiviti penyeludupan selama ini memberi impak negatif kepada industri vape tempatan dan berharap lebih banyak usaha penguatkuasaan dilakukan.
“Sekiranya tidak dilaksanakan, kurang adil bagi pemain industri vape tempatan yang mengikut peraturan KKM dari segi spesifikasi seperti membayar cukai untuk bersaing dengan produk seludup.
“Saya ucapkan tahniah, syabas dan terima kasih kepada SPRM,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!