[VIDEO] Kontena 'terbang' seludup vape
KUALA LUMPUR - Sindiket penyeludupan rokok elektronik (vape) yang dipercayai merasuah pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, berjaya ditumpaskan pada Selasa.
Kegiatan haram itu dibongkar Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Airways hasil intipan selama tiga bulan.

Menurut sumber, seramai 14 individu berusia lingkungan 20 hingga 60-an telah ditahan membabitkan enam pegawai JKDM dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat.

"Penahanan dilakukan selepas penahanan dua lori yang keluar dari pusat pemeriksaan kargo KLIA dan serentak itu, serbuan secara besar-besaran telah dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat-syarikat tersebut.
"Hasil pemeriksaan bersama Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM telah menemui 32,000 vape yang dianggarkan melibatkan cukai bernilai RM1.9 juta di dalam lori yang ditahan," katanya pada Rabu.
Selain itu, serbuan di salah sebuah gudang telah menemui sebanyak 90,000 unit vape yang dianggarkan cukai bernilai RM5.4 juta, manakala di sebuah gudang lagi turut menemui berpuluh ribu unit vape yang melibatkan jutaan ringgit yang tidak dibayar cukai pada JKDM.

Tambah sumber, setakat ini, hasil serbuan mendapati negara kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta.
"Kandungan vape itu juga dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna,” katanya.
Kata sumber lagi, dipercayai kesemua vape yang diseludup langsung tidak diikrarkan dan tiada sebarang dokumen dicatatkan.

"Ini menyerupai modus operandi kontena terbang dan pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas didapati menerima ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009..

Dalam pada itu, enam pegawai kastam dan enam individu termasuk empat pengarah syarikat direman selama empat hari manakala seorang lagi direman selama lima hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Pada Rabu, Sinar Harian turut menyertai operasi di sebuah gudang yang menempatkan pelbagai barang elektrik di Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
Tinjauan mendapati dua individu disyaki pengarah syarikat telah dibawa ke gudang berkenaan untuk pemeriksaan dokumen dan vape antaranya berperisa jambu batu, anggur serta teh.
Operasi itu turut melibatkan Pasukan Taktikal SPRM (ACTS).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!