'Rasuah pegawai ikut jenis lori, sehari RM6,000' - SPRM

Lori dipercayai membawa muatan vape seludup.
Lori dipercayai membawa muatan vape seludup.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Nilai rasuah diberikan kepada pegawai penguat kuasa di pintu masuk Zon Perdagangan Bebas (FCZ) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang berkaitan sindiket penyeludupan rokok elektronik (vape) dipercayai berjumlah RM6,000 sehari.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, nilai rasuah ini bergantung jenis lori yang dilepaskan.

Azam Baki
Azam Baki

"Jika lori satu tan nilainya RM150, lori tiga tan (RM300), lima tan (RM500) dan atas lima tan (RM750).

"Kekerapan lori pelbagai jenis itu akan keluar dari FCZ KLIA sebanyak lebih kurang 20 buah lori sehari dan anggaran nilai rasuah diberikan adalah sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sehari," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, lori-lori dilepaskan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa di FCZ KLIA mempunyai pelbagai kesalahan terutamanya penyeludupan.

Mengulas mengenai Op Airways itu, Azam berkata, rampasan dan sitaan vape telah dibuat selain barang-barang lain seperti komputer, telefon bimbit, barangan berjenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM17,954,459.

"Berdasarkan hasil risikan dan siasatan, sindiket penyeludupan vape keluar dari FCZ KLIA ini aktif menjalankan kerja-kerja penyeludupan sejak tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, siasatan baru sahaja bermula dan masih dalam tindakan untuk mengenal pasti suspek-suspek lain serta penglibatan mereka dalam aktiviti sindiket penyeludupan tersebut," ujarnya.

Antara sitaan dilakukan SPRM berhubung siasatan kes sindiket penyeludupan vape.
Antara sitaan dilakukan SPRM berhubung siasatan kes sindiket penyeludupan vape.

Op Airways pada Selasa itu dijalankan hasil risikan selama tiga bulan.

Seramai 14 individu berusia lingkungan 20 hingga 60-an termasuk dua wanita telah ditahan antara jam 8 malam hingga 1 pagi (Rabu) di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

Mereka yang ditahan terdiri daripada enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat.

Serbuan juga berjaya menemui ratusan ribu vape yang melibatkan kehilangan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta.

Antara wang tunai diperoleh hasil sitaan dilakukan SPRM berhubung siasatan kes sindiket penyeludupan vape.
Antara wang tunai diperoleh hasil sitaan dilakukan SPRM berhubung siasatan kes sindiket penyeludupan vape.

Modus operandi sindiket ialah merasuah pegawai-pegawai penguat kuasa yang bertugas dengan habuan ribuan ringgit bagi setiap kontena tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan.

Kesemua enam pegawai kastam, empat pengarah syarikat dan dua individu telah direman selama empat hari sehingga 25 Januari, seorang lagi pengarah syarikat direman selama lima hari sehingga 26 Januari, manakala seorang lagi pengarah syarikat dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!