Sebesar-besar kontena pun bolos!

SHAH ALAM - Jenayah rasuah yang berleluasa adalah masalah serius yang memberi kesan besar kepada sesebuah negara, organisasi dan masyarakat secara keseluruhan.
Rasuah merujuk kepada penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan peribadi biasanya melibatkan suapan, pemerasan atau pemberian hadiah sebagai balasan untuk mendapatkan sesuatu yang tidak sah.
Ia bukan sahaja menjejaskan integriti dan kepercayaan dalam institusi, tetapi juga menyebabkan ketidaksamaan sosial, ekonomi dan ketidakadilan dalam masyarakat.
Seperti kejadian terbaru, enam pegawai kastam dan lapan individu termasuk pengarah syarikat dipercayai bersekongkol bagi membolehkan kontena mengandungi rokok elektronik (vape) bolos tanpa sebarang pemeriksaan di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Menurut sumber kegiatan menyerupai modus operandi kontena 'terbang' dan pegawai penguat kuasa yang bertugas menerima rasuah ribuan ringgit bagi setiap kontena supaya ia bolos tanpa melalui mesin imbasan atau sebarang pemeriksaan.
Kegiatan haram itu dibongkar Bahagian Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Airways hasil intipan selama tiga bulan dan operasi bersepadu menemui lebih 100,000 vape melibatkan kehilangan cukai RM8 juta.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, enam pegawai kastam dan enam individu termasuk empat pengarah syarikat direman selama empat hari manakala seorang lagi direman selama lima hari.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu dan seorang lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sekiranya didapati bersalah, hukuman yang setimpal perlu dilakukan pihak berkuasa sebagai pengajaran dan kegiatan seperti tidak berlaku lagi pada masa hadapan.
Mungkin pelaku boleh dipenjara seumur hidup atau dibuang daerah agar menjadi iktibar untuk semua masyarakat tanpa mengambil kira pangkat dan kedudukan.
Selain penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, ketelusan dalam pentadbiran awam turut wajar dipertingkat menerusi pelbagai program dan kursus yang dibuat mengikut kesesuaian.
Di samping itu, sokongan masyarakat dan budaya integriti yang kuat juga penting dalam usaha membanteras jenayah rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!