Waspada jika bertemu 'blue button jellyfish' pantai di Terengganu

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menasihati orang ramai terutama pengunjung pantai supaya berhati-hati dan tidak menyentuh sekiranya bertemu 'blue button jellyfish' atau digelar ubur-ubur butang biru.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, hidupan marin dengan nama saintifiknya porpita sp itu dikesan terdampar di beberapa pantai di Terengganu, baru-baru ini.
"Dua, tiga hari lepas kita ada terima laporan spesies ini terdampar di pantai Pulau Redang dan Kuala Ibai, namun sebaik tiba di lokasi itu ia sudah tiada dan mungkin telah hanyut semula ke laut.
"Begitu juga dengan penemuan spesies ini di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus. Apabila pegawai tiba di lokasi, ia sudah tidak kelihatan dan tidak dapat dikesan.
"Walaupun spesies ini kurang bahaya, kita nasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak menyentuh sekiranya terjumpa hidupan ini di mana-mana kawasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Khamis.
Ruzaidi tidak menolak kemungkinan kehadiran pelbagai spesies ubur-ubur disebabkan dibawa arus laut sepanjang musim tengkujuh.
Katanya, berdasarkan sumber Pusat Penyelidikan Taman Laut Negara, kawasan taburan ubur-ubur jenis 'blue button jellyfish' itu meliputi Terengganu dan Pulau Pinang.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Haiwan, Sains Akuatik dan Sekitaran, Fakulti Biosumber dan Industri Makanan (FBIM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Norshida Ismail berkata, ubur-ubur tersebut merupakan organisma berkoloni hidroid yang hidup terapung dibawa arus.
Jelasnya, ia boleh ditemui di kebanyakan lautan dari kawasan perairan tropika dan subtropika terutama di Lautan Hindi, Lautan Pasifik, dan Lautan Atlantik.
"Di Asia Tenggara, ia pernah dilaporkan ditemui di perairan Pulau Pinang, Kepulauan Andaman, Teluk Thailand, dan di Filipina.
"Porpita sp sering dibawa ke pantai akibat perubahan angin seperti angin monsun, atau arus laut kuat yang menghala ke pantai.
"Hidupan ini tidak mempunyai kawalan pergerakan yang baik kerana hanya terapung dan arus laut memainkan peranan membawanya ke tepi pantai," katanya.
Beliau berkata, 'blue button jellyfish' mempunyai sengat dan boleh menyebabkan ketidakselesaan atau reaksi alergi terutama kepada individu sensitif.
Bagaimanapun, katanya, sengatan hidupan itu tidak berbahaya seperti 'portugese man o' war' malah risiko disengat juga kurang kerana tentakel agak pendek.
"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati, tidak menyentuh atau memijak kerana ubur-ubur jenis ini sering terdampar bersama dengan spesies 'portugese man o' war'.
"Kesan sengatan boleh menyebabkan rasa pedih atau seperti terkena jarum halus, kemerahan atau kerengsaan pada kulit. Ia juga meninggalkan reaksi alergi seperti gatal-gatal teruk, bengkak, atau kesukaran bernafas.
"Antara langkah awal boleh diambil apabila terkena sengatan ialah bilas kawasan itu menggunakan cuka atau air laut bersih, bukan air tawar kerana air tawar boleh mencetuskan pengeluaran lebih banyak toksin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!