AISSE 25 labuh tirai, bakal diteruskan dua tahun lagi

Saifuddin Nasution berucap pada Majlis Penutup dan Sesi Dialog sempena Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

A
A
A

PUTRAJAYA - Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE 25) yang julung kalinya diadakan bermula Isnin lalu melabuhkan tirainya pada Rabu.

Ia menarik kehadiran lebih 18,000 pelawat perdagangan dan pegawai kerajaan serta 1,000 delegasi persidangan dalam 36 bengkel sepanjang persidangan selain 348 penyertaan syarikat dari 48 negara pempamer.

AISSE 25 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) memberi tumpuan kepada isu keselamatan domestik dan antarabangsa selain membincangkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam ucapan perasmian penutup menyifatkan penganjuran AISSE 25 sebagai satu kejayaan besar buat negara sekali gus melonjakkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

"Mengambil kira bahawa ini adalah program sulung yang dikendalikan oleh KDN khususnya di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), AISSE 25 adalah satu kejayaan yang membanggakan," katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (tiga dari kiri), Saifuddin Nasution (lima dari kiri),dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (enam dari kiri) bergambar kenangan bersama sebahagian delegasi dan peserta pada Majlis Penutup dan Sesi Dialog sempena Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Menyifatkan AISSE 25 sebagai platform penting untuk membincangkan isu keselamatan mendesak pada masa kini, Saifuddin berkata, penganjuran AISSE akan diteruskan pada tahun 2027.

"Daripada keselamatan siber dan anti keganasan hingga ke usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia, perbincangan AISSE 25 secara kritikal telah mencetuskan pemahaman mendalam," jelas beliau.

AISSE 25 turut menekankan peranan transformasi teknologi, khususnya AI, dalam meningkatkan rangka kerja keselamatan di seluruh rantau ini.

Artikel Berkaitan:

"AISSE 25 ini mempersembahkan inovasi-inovasi canggih, termasuk sistem pengawasan terkini, teknologi keselamatan siber yang melangkaui sempadan dan penyelesaian komuniti pintar," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak berkepentingan menterjemahkan pandangan dan input persidangan kepada tindakan.

"Cabaran yang kita hadapi memang kompleks, namun AISSE 25 telah membuktikan bahawa perpaduan dan kerjasama adalah penting untuk mengatasi ancaman keselamatan yang paling mencabar.

"Marilah kita terus membina momentum yang diperlukan untuk melindungi masa depan bersama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!