Sinar Kasih Ramadan diteruskan, masuk tahun ke-17

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) meneruskan Program Sinar Kasih Ramadan (SKR) yang memasuki tahun ke-17 sejak diperkenalkan pada 2008.
Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, pada tahun ini YBK menyasarkan bantuan kepada 200 keluarga di seluruh Selangor yang akan menerima bantuan kewangan sehingga RM600 selain kotak makanan.
Menurutnya, bantuan kepada fakir miskin ini mendapat kerjasama daripada rakan penaja terdiri Yayasan Food Bank, Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (penerima e-Kasih) selain syarikat korporat, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd dan Dutch Lady Milk Industries Berhad.
"Memasuki tahun ke-17, Sinar Kasih Ramadan merupakan program sepanjang Ramadan bagi membantu mereka terdiri miskin tegar untuk menerima bantuan.
"Sasaran penerima kepada 200 keluarga dan melalui kerjasama berbentuk kotak makanan, Insya-ALLAH dijangka lebih ramai menerima sumbangan pada kali ini," katanya pada Majlis Pelancaran SKR 2025 berlangsung di pejabat YBK Kelana Jaya, di sini pada Jumaat.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengasas YBK, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Hadir sama, Pengerusi program SKR, Datin Dr Hartini Osman dan Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Sinar Karangkraf, Hashim Anang.
Zainal Abidin berkata, senarai penerima terpilih dikenal pasti melalui sumber komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan YBK.
"Berbanding tahun-tahun sebelumnya, Sinar Kasih Ramadan kali ini lebih meriah melalui sumbangan rakan penaja selain jumlah penyumbang juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Kita harap melalui sumbangan yayasan di samping bantuan agensi-agensi lain, sedikit sebanyak membantu meringankan beban golongan memerlukan pada musim perayaan," katanya.
Ujarnya, orang ramai yang ingin menjadi penyumbang untuk program SKR masih boleh berbuat demikian memandangkan sumbangan tersebut dibuka secara berterusan.
"Setiap sumbangan diterima akan disalurkan terus kepada penerima dan golongan sasar.
"Penyerahan sumbangan ini akan dilaksanakan seminggu sebelum Ramadan dan laporan berkenaan penyerahan ini bakal dipaparkan di media sosial serta laman sesawang yayasan bagi menjamin ketelusan," katanya.
Tambahnya, sumbangan boleh dibuat melalui akaun YBK bernombor 1005 0540 0000 3480 di bawah MBSB Bank Berhad.
Jelasnya, sumbangan diberikan itu layak menerima pengecualian cukai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!