Hanya satu projek sakit di Selangor - Ahmad Maslan

SHAH ALAM - Hanya satu projek dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor yang dikategorikan sebagai sakit, iaitu Klinik Kesihatan Timah Langat, Sepang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu mengalami kelewatan lebih 60 hari atau 20 peratus daripada jadual asal, menyebabkan ia dikategorikan sebagai projek sakit.
"Tahun ini, kita nak seluruh negara sifar projek sakit, yang mana jumlah keseluruhan ada tiga peratus bersamaan 16 projek sakit dan di Selangor hanya ada satu.
"Kebiasaannya projek sakit mengalami kelewatan kerana masalah kewangan dan pengurusan kontraktor sendiri, malah alasan cuaca tidak boleh diguna pakai.
"Kita nak sifar projek sakit, jadi apa yang kita buat adalah tamatkan kontraktor seperti di Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai kerana dianggap projek sakit, tetapi baru-baru ini kita sudah menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor baharu untuk selesaikan lagi 15 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di pejabat JKR Selangor di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, pada tahun ini, terdapat 20 projek Persekutuan iaitu pembinaan bangunan baharu di bawah kendalian JKR Selangor dengan melibatkan kos RM223.73 juta.
Selain itu katanya, tujuh projek penyelenggaraan bangunan pula melibatkan kos berjumlah RM28.97 juta.
"Semua 27 projek ini berada di peringkat pra-kontrak. JKR Selangor juga sedang melaksanakan 49 projek Persekutuan dengan kos RM1.097 bilion yang kini berada pada peringkat pembinaan.
"Ia merangkumi tiga projek jalan melibatkan kos RM40.326 juta, 41 projek pembinaan bangunan (RM1.021 bilion) dan satu projek penyelenggaraan bangunan (RM2.069 juta).
"Malah ada dua projek cerun dengan kos RM2.51 juta, satu projek mekanikal (RM2.4 juta) dan satu projek elektrikal (RM28.17 juta)," ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan, pembinaan infrastruktur kesan daripada banjir di negeri-negeri yang terjejas pada tahun ini sudah bermula.
"Bermula Januari dan Februari ia ada peruntukan. Angkanya telah dimaklumkan sebelum ini. Jumlah tersebut tidak termasuk banjir tahun ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!