Keputusan henti beri tol percuma boleh berubah - Ahmad Maslan

SHAH ALAM - Keputusan untuk menghentikan pemberian tol percuma pada musim perayaan boleh berubah dan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet yang dijangka diadakan pada Jumaat ini.
"Satu hari tol percuma kosnya RM19 hingga RM20 juta dan satu tahun kita beri lapan kali, bersamaan lapan hari tol percuma untuk empat perayaan. Apa yang diumumkan oleh menteri adalah keputusan Kabinet pada tahun lepas.
"Adakah keputusan ini boleh berubah? Ya, boleh dan esok kita akan tahu. Dikekal atau diubah, Kabinet boleh menyemak kembali keputusan yang mereka buat. Disebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru pulang hari ini, jadi mesyuarat Kabinet ditangguh dan akan diadakan esok.
"Kita tunggu sehingga esok, kalau ada keputusan baharu, Menteri Kerja Raya akan umum melalui kenyataan media kerana esok hari terakhir untuk buat keputusan sempena Tahun Baru Cina nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas membuat lawatan kerja di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan, dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari masa ke masa.
Jelasnya, kerajaan memutuskan tahun lepas merupakan kali terakhir subsidi diberikan kepada pengguna lebuh raya untuk melakukan perjalanan tanpa tol pada hari tertentu, semasa perayaan besar.
Tambah beliau, keputusan itu selaras dengan dasar kerajaan perpaduan untuk menamatkan subsidi menyeluruh yang memihak kepada mereka yang disasarkan, kepada isi rumah berpendapatan rendah dan kumpulan terdedah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
