Bapa sakit kanser prostat tahap empat, anak gadis bantu usahakan ternakan biri-biri

Rutin harian Siti Nuruljannah mengusahakan penternakan kambing biri-biri setelah bapanya disahkan menghidap kanser prostat tahap empat.
Rutin harian Siti Nuruljannah mengusahakan penternakan kambing biri-biri setelah bapanya disahkan menghidap kanser prostat tahap empat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang gadis berusia 23 tahun sanggup menutup perniagaan kedai makan miliknya demi mengambil tanggungjawab menjaga kedua ibu bapa yang sakit di kampung.

Pada masa sama, dia juga berlapang dada meneruskan pekerjaan hakiki milik bapanya yang mengusahakan penternakan kambing biri-biri di Setiu, Terengganu.

Siti Nuruljannah Ahmad berkata, walaupun pekerjaan itu sinonim dengan kaum lelaki, namun demi membahagiakan bapanya dia rela berkorban.

Menurut Siti Nuruljannah, pada permulaannya sangat sukar untuk membuat keputusan balik ke kampung apatah lagi mengambil alih menjaga kambing biri-biri.

"Pada tahun lalu ayah disahkan menghidapi penyakit kanser prostat tahap empat dan ibu pula mempunyai masalah ingatan yang serius atau nyanyuk. Suatu hari ayah ada beritahu mahu jual haiwan peliharaannya, namun saya nyatakan kesanggupan untuk mengambil alih.

"Saya ambil keputusan itu sebab saya tahu ayah sangat sayangkan binatang ternakan yang diusahakannya sejak sekian lama selain dapat menjaga dan berbakti kepada mereka.

"Kedai makan yang saya usahakan sejak setahun lalu terpaksa ditutup. Walaupun pendapatan daripada perniagaan itu mencecah ribuan ringgit setiap bulan, namun saya percaya dengan rezeki ALLAH apatah lagi apabila kita membahagiakan ibu bapa," ujarnya.

Anak bongsu daripada empat beradik ini mengakui tidak pernah menyesal 'terjun' dalam bidang penternakan sebaliknya menganggap ia sebagai satu proses pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kini dia dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan ternakan kambing biri-biri berkenaan.

"Dulu masa saya ambil alih hanya ada 10 ekor kambing biri-biri tetapi sekarang alhamdulillah semakin membiak. Saya tidak kisah walaupun terpaksa menggunakan kudrat, ramai yang tanya macam mana saya boleh lakukan kerja yang dilakukan kaum lelaki setiap hari.

"Bagi saya tiada apa yang mustahil. Tambah lagi sekarang ramai kaum wanita setanding dengan lelaki, yang penting usaha," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!