JPV Terengganu rampas kambing, biri-biri seludup bernilai RM98,500

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu merampas 77 ekor kambing termasuk biri-biri dianggarkan bernilai RM98,500 yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Pengarahnya, Dr Anun Man berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihak penguat kuasa menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Kampung Padang Landak, Besut, kira-kira jam 11.30 malam, pada Selasa.
"Hasil siasatan ke atas lori tersebut mendapati terdapat 77 ekor kambing termasuk biri-biri yang disyaki diseludup untuk dipasarkan di beberapa negeri selain Terengganu," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 kerana melakukan kesalahan pemindahan ternakan tanpa kebenaran sah daripada pengarah JPV.
"Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000," ujar beliau.
Katanya, sebanyak 12 kes pemindahan ternakan tanpa permit direkodkan di negeri itu sepanjang tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!