Insiden tampar bukti bukan semua kakitangan Puspakom tak berintegriti - CEO

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman. Video tular memaparkan seorang lelaki bertindak menampar petugas Puspakom di Taman Daya di Johor Bahru berlaku pada 18 November lepas
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman. Video tular memaparkan seorang lelaki bertindak menampar petugas Puspakom di Taman Daya di Johor Bahru berlaku pada 18 November lepas
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden seorang petugas Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) ditampar oleh pelanggan yang tular baru-baru ini membuktikan bukan semua kakitangan agensi berkenaan tidak berintegriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, beliau juga bangga kerana petugas berkenaan yang tidak memberikan reaksi negatif walaupun diserang.

Bagaimanapun menurutnya, insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana pematuhan syarat-syarat atau tahap piawaian ditetapkan kerajaan adalah demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Saya tengok video tu, saya terkejut dan kesian dengan kakitangan kita. Terkejut sebab walaupun saya pernah dengar perkara ini berlaku sebelum saya jadi CEO, tapi (sekarang) saya lihat sendiri.

"Saya bangga sebab dia langsung tidak memberikan reaksi sama ada nak pukul balik, marah atau maki balik. Jadi saya bangga dengan dia.

"Kalau jadi kes polis saya akan mempertahankan kakitangan saya yang bekerja dengan integriti.

"Ini juga membuktikan bukan semua kakitangan Puspakom ini tidak berintegriti...ada yang menjalankan kerja dengan berwibawa dan mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan," katanya menerusi hantaran video di Facebook Puspakom pada Selasa.

Sebelum ini, polis mengesahkan video tular memaparkan seorang lelaki bertindak menampar petugas Puspakom di Taman Daya di Johor Bahru berlaku pada 18 November lepas.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal Puspakom mendapati suspek telah bertindak kasar selepas kenderaan perdagangan miliknya gagal ujian brek semasa pemeriksaan berkala.

Puspakom pernah dikaitkan dengan isu integriti apabila terdapat laporan mengenai ‘runner dan kartel’ yang mempengaruhi proses pemeriksaan kenderaan.

Kementerian Pengangkutan telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menangani isu ini dan memastikan setiap kenderaan yang diperiksa mematuhi piawaian keselamatan jalan raya yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Mahmood menjelaskan, kegagalan ujian pemeriksaan menunjukkan kenderaan tersebut tidak selamat untuk digunakan di jalan raya dan ia tidak akan berlaku sekiranya mereka memastikan pemeriksaan berkala sentiasa dibuat.

"Kalau dia gagal kerana tayar umpamanya, tayar memainkan peranan yang amat penting untuk keselamatan jalan raya, sama dengan brek atau lampu tak menyala bahaya kepada pengguna lain.

"Jadi kalau semua orang sedar bahawa apa yang Puspakom lakukan ini adalah untuk keselamatan orang ramai dan juga pembawa kenderaan tersebut, mungkin mereka boleh bersabar sedikit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!