'Ancaman tayar celup haram'


Azrin menunjukkan tayar lori yang menggunakan tayar celup.
Azrin menunjukkan tayar lori yang menggunakan tayar celup.
A
A
A

SHAH ALAM - Menggunakan tayar celup tidak ikut piawaian bagi menggantikan tayar yang sudah botak.

Itu antara kesalahan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor hasil pelaksanaan Op Gempur Teknikal sejak 25 Disember tahun lalu yang memfokuskan kenderaan perdagangan dan kenderaan berat.

Sepanjang tiga minggu pelaksanaan operasi itu di negeri ini, 3,761 kesalahan direkodkan hasil pemeriksaan ke atas 26,235 buah kenderaan dan kesalahan teknikal paling tinggi iaitu 1,593 kes.


Azrin
Azrin

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pelbagai kesalahan antaranya tayar haus berlebihan, lampu brek tidak menyala, lampu malam tidak berfungsi, hon dua nada, cermin gelap dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi.

Mengenai kesalahan tayar haus berlebihan, beliau memberitahu, alasan para pemandu kerana kos untuk membeli tayar baharu sangat tinggi dan membeli tayar celup jauh lebih murah sebelum pemasangan dilakukan di premis bengkel.

Antara contoh kesan penggunaan tayar celup haram yang merisikokan kepada punca kemalangan.
Antara contoh kesan penggunaan tayar celup haram yang merisikokan kepada punca kemalangan.

“Tayar celup mempunyai spesifikasi yang sah sekiranya diluluskan oleh SIRIM. Namun apa yang dikesan ada kenderaan perdagangan ini menggunakan tayar celup haram yang tidak ikut syarat SIRIM.

Artikel Berkaitan:

“Dipercayai tayar celup ini mampu diperolehi sekitar harga RM500 hingga RM600 berbanding harga tayar asli bernilai RM1,200 atau lebih. Risiko tayar celup haram ini sudah tentu mudah meletup, pecah dan kurang cengkaman,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Azrin bersama pegawainya meninjau lori yang disita menerusi Op Gempur Teknikal baru-baru ini. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Azrin bersama pegawainya meninjau lori yang disita menerusi Op Gempur Teknikal baru-baru ini. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mengulas lanjut, kata Azrin, Op Gempur Teknikal turut merekodkan 3,761 notis iaitu 2,594 notis saman, notis arah periksa (545 kes), notis larangan penggunaan kenderaan (531 kes), notis arah timbang (80 kes) dan sitaan (11 kes).

Menurutnya, selain isu teknikal, JPJ juga mengesan kenderaan perdagangan yang beroperasi tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Pemandu beri alasan lupa perbaharui dan tiada masa untuk pergi ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Ada yang juga sengaja enggan baik pulih kerana kos pembaikan tinggi dan kesibukan masa bekerja.

“Apa sahaja alasan diberi, kita tidak kompromi. Notis saman akan diberikan dan jika kesalahan berulang, tindakan sitaan akan diambil,” tegasnya.

Antara kesalahan teknikal iaitu komponen skru yang tidak lengkap dikesan pada kenderaan perdagangan yang disita. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Antara kesalahan teknikal iaitu komponen skru yang tidak lengkap dikesan pada kenderaan perdagangan yang disita. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Konsisten laksana audit

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan, JPJ melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) setiap tahun.

Kata Azrin, pada tahun lalu pihaknya melaksanakan 235 JISA meliputi audit kemalangan (107), audit susulan berkala (73), audit susulan kemalangan (39), audit aduan (6), susulan aduan (4) dan audit pasca penggantungan (6).

“Semua syarikat kenderaan perdagangan di Selangor telah dibuat audit secara berfasa.


Azrin menunjukkan antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemandu lori iaitu meletakkan barang dalam keadaan tidak selamat. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Azrin menunjukkan antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemandu lori iaitu meletakkan barang dalam keadaan tidak selamat. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Audit JISA mempunyai 23 elemen dan tujuh perkara mandatori yang perlu dipatuhi bagi pematuhan Industry Code Of Practice (ICOP) meliputi kepimpinan dan keselamatan, pengurusan kenderaan, pengurusan pemandu, pengurusan rekod serta pengurusan risiko,” ujar beliau.

Tambahnya, antara elemen yang gagal dipatuhi ialah tidak mewujudkan jawatankuasa keselamatan, kesihatan dan persekitaran (SHE) di tempat kerja; tidak memasang Sistem Pengesanan Global (GPS) ke atas semua kenderaan aktif bermotor; tidak membuat pemantauan GPS secara real time; gagal membuat semakan saman setiap bulan melalui pangkalan data JPJ atau polis selain melantik pegawai keselamatan yang tidak diiktiraf Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) atau Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

No Image Caption

“Antara alasan diberi pihak syarikat yang gagal mematuhi audit ini ialah perbelanjaan yang tinggi untuk penyediaan peralatan keselamatan dan menyediakan latihan kepada pemandu selain mendakwa kekurangan sumber manusia bagi mengendalikan pemantauan GPS secara real time," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada syarikat kenderaan perdagangan ini mematuhi JISA selain ada yang dalam proses pembetulan.

“Sekiranya kesalahan dikesan, penggantungan akan dikenakan minimum enam bulan atau penggantungan lesen operasi jika kesalahan berulang dan kita akan hadir semula ke syarikat terbabit untuk semakan sebelum kelulusan semula diberi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini JPJ menerima kerjasama yang baik daripada pihak syarikat.

“Kepada pengendali, apa pun alasan yang diberikan keutamaan keselamatan di jalan raya amatlah penting bagi mengelak kemalangan berlaku.

“Kita berharap pihak terbabit memainkan peranan penting untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap kenderaan dan pemandu sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan kenderaan dan pemandu dalam keadaan bersedia dan selamat untuk melakukan perjalanan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!