Puspakom bakal laksana SOP baharu

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menjangkakan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pemeriksaan kenderaan akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam minggu lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, daripada segi SOP, pihaknya sedang meneliti beberapa cadangan yang telah dirangka untuk mengetatkan lagi beberapa kaedah dan SOP pemeriksaan.
Katanya, ini bagi menangani isu-isu berkaitan dengan keselamatan kenderaan tertakluk kepada senarai dan panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Kami jangka SOP terkini akan dapat dilaksana dalam tempoh enam atau lapan minggu.
"Bagaimanapun, pemantauan rapi serta peringatan untuk mematuhi prosedur kerja telah dikeluarkan kepada semua cawangan sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, Puspakom memandang serius isu-isu berkaitan dengan integriti pemeriksaan.
Jelas Mahmood, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), JPJ dan Kementerian Pengangkutan untuk membanteras gejala integriti di Puspakom.
"Kita sentiasa mengalu-alukan cadangan JPJ dan Kementerian Pengangkutan dalam prosedur pemeriksaan bagi memastikan kenderaan yang diluluskan oleh Puspakom mengikut piawaian telah ditetapkan dan benar-benar layak dipandu di atas jalan raya," ujarnya.
Sementara itu, berhubung penahanan pegawainya disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat, Mahmood menegaskan, selepas digantung tugas, siasatan dalaman terhadap setiap kakitangan dimulakan oleh Bahagian Sumber Manusia serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Puspakom.
"Ini termasuk temu siasat terhadap mereka dan melihat rekod disiplin selain meneliti secara rawak kenderaan yang telah mereka periksa dan diluluskan dalam tempoh terdekat," ujarnya.
Pada 7 Januari lalu, enam pegawai pemeriksa kenderaan Puspakom digantung tugas serta-merta selepas disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
