Lelaki khayal dadah ditahan pandu melulu punca kemalangan tiga kenderaan

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang lelaki yang memandu secara melulu dan berbahaya di bawah pengaruh dadah menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bertam 2/3 Taman Daya pada Khamis.
Sebelum itu kereta Honda Accord terbabit dikejar unit kereta peronda (MPV) polis sejauh empat kilometer sehingga ke Jalan Puspakom Taman Daya menuju ke Lebuhraya Pasir Gudang dan suspek telah melanggar serta merosakkan palang keselamatan sebuah pangsapuri awam di kawasan Mount Austin di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, anggota unit MPV yang sedang melakukan rondaan Op Cegah Jenayah pada jam 11.40 pagi mengesan kereta terbabit dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, sebaik diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan pemandu lelaki tempatan berusia 39 tahun itu bertindak melarikan diri kira-kira dengan memandu secara 'zig zag'.
"Tindakan lelaki terbabit telah menyebabkan berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta Mazda 3 berdaftar di Singapura, Proton Saga dan Peugeot 408.
"Seorang daripada pemandu kereta yang terlibat mengalami kecederaan ringan di siku kanan dan menerima rawatan di klinik swasta manakala lelaki terbabit bersama pemandu kereta lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis malam.
Beliau berkata, suspek ditahan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan, pihaknya menemukan 12.99 gram syabu,13.59 gram heroin, tiga biji pil yaba dan dua biji pil erimin 5.
Menurutnya, lelaki terbabit positif dadah jenis metamfetamin dan amfetamina serta mempunyai 16 rekod lampau kes jenayah dan dadah.
"Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama selain Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan suspek mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu, cukai jalan kenderaan tamat tempoh selain tidak mempunyai lesen memandu," ujarnya.
Video rakaman kejadian turut tular di media sosial yang menunjukkan seorang anggota polis meminta suspek keluar daripada kereta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!