Lelaki tampar kakitangan Puspakom, kejadian November lalu

JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan video tular yang memaparkan seorang kakitangan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini ditampar seorang lelaki yang juga pelanggan merupakan kejadian November tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian pada jam 5.40 pagi, 8 November itu berlaku di Puspakom Taman Daya.
"Satu laporan polis telah diterima daripada mangsa lelaki berusia 38 tahun yang merupakan kakitangan Puspakom.
"Suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia 59 tahun bertindak menampar mangsa selepas mendapati lorinya gagal dalam pemeriksaan Puspakom," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Raub memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
"Orang ramai diminta tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," ujarnya.
Sebelum ini tular satu video memaparkan tindakan pelanggan menampar seorang kakitangan Puspakom di media sosial sejak Rabu.
Berdasarkan video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan warga emas memakai baju berwarna kuning itu pada awalnya memanggil staf berkenaan sambil menunjukkan sekeping kertas.
Kemungkinan kertas terbabit merupakan keputusan pemeriksaan kenderaannya dan memperlihatkan lelaki terbabit secara tiba-tiba menampar kakitangan yang sedang menjalankan tugasnya itu hingga menyebabkan situasi menjadi tegang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!