[VIDEO] Kerajaan Selangor digesa campur tangan batal notis pengusiran ternakan

A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa campur tangan bagi membatalkan notis pengusiran ternakan dikeluarkan SD Guthrie kepada penternak haiwan di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam pada 31 Disember lalu.

Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R Vijayagandi, 49, berkata, gesaan itu antara tuntutan kira-kira 176 penternak dalam bidang ternakan lembu, kerbau, kambing dan tenusu di kawasan terbabit.

Menurutnya, kerajaan negeri juga harus mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tidak membantu syarikat berkenaan bagi menangkap lembu ternakan di dalam kawasan ladang.

Lebih 100 penternak membuat bantahan aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Lebih 100 penternak membuat bantahan aman di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

"Malah, kerajaan negeri wajar mengikuti pendekatan diambil kerajaan Persekutuan di mana sejak 2024 rundingan telah dibuat yang juga dihadiri Setiausaha Bahagian Sekuriti Makanan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mazlan Othman dan veterinar negeri.

"Pertemuan itu mewujudkan pemahaman bahawa penternakan lembu tidak mengganggu malah menaikkan faedah kepada hasil kelapa sawit kepada syarikat perladangan.

"Pendekatan kerajaan Persekutuan adalah bagaimana untuk mengharmonikan aktiviti penternakan dan perladangan yang sudah bermula sejak dua generasi dan bukan sebaliknya," katanya pada Rabu.

Beliau mengetuai lebih 100 penternak yang membuat bantahan dan menghantar memorandum kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Artikel Berkaitan:

Vijayagandi (kanan) mengetuai lebih 100 penternak yang membuat bantahan dan menghantar memorandum.
Vijayagandi (kanan) mengetuai lebih 100 penternak yang membuat bantahan dan menghantar memorandum.

Pada 19 Disember lalu, kerajaan Selangor mengarahkan pihak Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam supaya segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail dilaporkan berkata, satu mesyuarat khas diadakan sebelumnya bersama pihak terlibat mengenai isu lembu ternakan yang dibiarkan bebas di tanah ladang itu.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu lagi, pihak SD Guthrie menyatakan bahawa haiwan berkenaan milik lima hingga enam penternak yang menduduki tanah tersebut secara tidak sah.

Justeru, satu notis rasmi dikeluarkan kepada penternak itu bagi mengarahkan mereka memindahkan lembu selewat-lewatnya pada 31 Januari depan.

Tambahnya, jika arahan itu gagal dipatuhi, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak berkenaan mengikut peraturan ditetapkan.

R Vijayagandi mengulas lanjut mendakwa, berikutan kenyataan exco, Syarikat SD Guthrie Berhad pula mengambil kesempatan ini dengan mengeluarkan satu lagi notis pengusiran kepada kesemua penternak di Selangor.

"Kami amat tidak berpuas hati dan agak keliru dengan notis tersebut yang mendakwa bahawa Kerajaan Negeri Selangor sendiri yang mengeluarkan arahan kepada penternak.

"Adakah dakwaan SD Guthrie terhadap kerajaan negeri Selangor adalah benar dan jika ini berterusan maka dalam masa terdekat kemungkinan hampir 80 peratus jaminan makanan kita sudah pasti akan terjejas," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!