Kerajaan Selangor tiada kuasa batal notis usir ternakan - Rizam

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan notis pengusiran ternakan kepada penternak haiwan di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, keputusan itu merupakan polisi dalaman yang ditentukan oleh SD Guthrie memandangkan tanah ladang berkenaan adalah milik syarikat.
"Notis ini dikeluarkan SD Guthrie yang mengarahkan penternak memindahkan haiwan ternakan mereka selewat-lewatnya pada 31 Januari ini.
"Polisi ini bukan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, kerajaan Selangor digesa campur tangan bagi membatalkan notis pengusiran ternakan dikeluarkan SD Guthrie kepada penternak haiwan di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam pada 31 Disember lalu.
Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R Vijayagandi, 49, berkata, gesaan itu antara tuntutan kira-kira 176 penternak di kawasan terbabit.
Rizam memberitahu, kerajaan sentiasa prihatin dan berusaha mewujudkan situasi menang-menang dalam mencari penyelesaian tuntas bagi isu berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor mencadangkan tiga tapak tanah bagi membolehkan penternak yang menerima notis daripada syarikat ladang SD Guthrie, Sabak Bernam, meneruskan aktiviti penternakan.
"Tapak tanah yang dicadangkan ialah di tanah warta Jabatan Veterinar Sabak Bernam di Beting Kepah, Sungai Apong, Mukim Bagan Nakhoda Omar, tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Mukim Sungai Panjang atau di tanah warta Pentadbir Tanah Sabak Bernam di Pekan Bagan Terap," jelas beliau.
Jelas beliau, penternakan yang dibenarkan di tapak-tapak itu hendaklah dijalankan secara 'feedlot' dan mematuhi syarat-syarat ditetapkan.
"Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan kesejahteraan semua pihak terlibat dalam isu ini termasuk penternak lembu, syarikat ladang dan masyarakat setempat," jelas beliau lagi.
Kata Rizam, keutamaan Kerajaan adalah untuk menjamin keselamatan awam, melindungi kepentingan penduduk setempat dan memberi peluang kepada penternak untuk meneruskan aktiviti mereka di lokasi sesuai.
Justeru, katanya, kerajaan negeri percaya dengan pendekatan dan penyelesaian dicapai itu bukan sahaja adil tetapi juga berlandaskan empati terhadap cabaran yang dihadapi semua pihak.
Pada 19 Disember lalu, kerajaan Selangor mengarahkan pihak Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam supaya segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.
Rizam berkata, satu mesyuarat khas diadakan sebelumnya bersama pihak terlibat mengenai isu lembu ternakan yang dibiarkan bebas di tanah ladang itu.
Mengikut rekod, lembu-lembu yang dibiarkan bebas ini telah menceroboh kawasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam sehingga menjejaskan operasi harian serta membahayakan keselamatan pesakit dan kakitangannya.
Selain itu, kemalangan jalan raya turut dilaporkan akibat lembu dilepaskan bebas, termasuk kejadian tragis pada 23 Oktober tahun lalu yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


