SPRM beku aset lebih RM116.69 juta tahun lalu

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan lebih RM116.69 juta melibatkan pembekuan aset di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset bernilai lebih RM97.90 juta menerusi operasi serta kes yang direkodkan dalam tempoh sama.
"Statistik turut merekodkan sebanyak 1,163 kes melibatkan nilai kompaun berjumlah RM60.82 juta dicatatkan dalam tempoh sama.
"Di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan nilai pembekuan aset sebanyak RM116.69 juta manakala bagi pelucutan hak aset bernilai RM12.69 juta," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar perkembangan kes-kes terkini yang disiasat SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa.
Katanya, seramai 1,334 individu ditahan sepanjang tahun lalu di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram 2001, dan mengikut Kanun Keseksaan.
"Seramai 453 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
"Selain itu, di bawah kaedah-kaedah lain berhubung asset recovery atau pemulihan semula aset sepanjang tahun lalu bernilai RM66.55 juta,” katanya.
Menurutnya, tindakan pelucutan hak berkenaan dilaksanakan di bawah pelbagai kaedah undang-undang termasuk Kanun Tatacara Jenayah, Akta Pengubahan Wang Haram 2001 dan Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

