Lelaki ditahan pandu SUV lawan arus di Lebuhraya Persekutuan

PETALING JAYA – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kejadian itu kira-kira jam 10.09 malam.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 6 petang apabila sebuah kenderaan SUV jenis Jaecco J7 berwarna putih dipandu melawan arus sebelum terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang melalui jalan berkenaan.
"Pemandu Perodua Myvi merupakan seorang wanita warga tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala seorang lelaki yang memandu kenderaan Jaecco J7 ditahan untuk pertuduhan dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Shamsudin mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
"Kita tidak akan berkompromi kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas.
"Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian kemalangan itu, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 atau ipd petaling jaya ditalian 03-79662222 bagi membantu siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditahan kerana memandu SUV melawan arus menyebabkan kemalangan di Lebuhraya Persekutuan
- Kejadian berlaku sekitar jam 6 petang dan melibatkan sebuah kenderaan SUV Jaecco J7 dengan Perodua Myvi
- Pemandu Myvi seorang wanita tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan
- Lelaki yang memandu SUV ditahan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
- Polis mengingatkan pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan pelanggaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
