Ops Sky perlu dilaksana bertali arus, kekang kegiatan penggubahan wang haram

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneruskan operasi khas iaitu Ops Sky secara bertali arus bagi memastikan kegiatan penggubahan wang haram di Malaysia dapat dihentikan.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, gejala tersebut dilihat semakin kritikal lebih-lebih lagi dengan ledakan digitalisasi.
"Ia di tahap kritikal kerana melibatkan peringkat atasan dan bawahan yang membabitkan banyak pihak, bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga warga asing.
"Di peringkat atasan, ia melibatkan sindiket terancang yang mempunyai rangkaian di dalam dan luar negara yang bergerak dengan keperincian sangat teliti seolah-olah mereka mewakili institusi sahih. Ini termasuk kegiatan penyamaran wang rasuah.
"Di peringkat bawahan pula membabitkan kalangan penggodam yang mencuri nombor dan identiti mangsa serta menyamar sebagai mangsa untuk mendapatkan wang 'ehsan' daripada rakan mangsa," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, SPRM sedang memperluaskan siasatan terhadap kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan syarikat perunding kewangan dan pegawai bank dari beberapa institusi kewangan melalui operasi khas, Ops Sky.
Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa antara 15 hingga 20 pegawai bank dijangka dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan kes ini.
Selain itu, SPRM turut menjalankan penjejakan aliran kewangan ke atas akaun bank lain yang disyaki terlibat dalam pelanggaran undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Mengulas lanjut, Helmi memaklumkan bahawa tindakan SPRM melaksanakan Ops Sky itu merupakan satu langkah yang baik.
"Kebanyakan transaksi penipuan bersindiket tidak akan dapat bergerak jika tanpa adanya penglibatan pihak dalaman atau insider.
"Pihak sindiket menggunakan akaun bank menerusi kolaborasi dengan orang dalaman bank yang memantau atau memelihara akaun ini, sama ada dalam bentuk akaun syarikat atau individu.
"Begitu juga penipuan peringkat bawahan iaitu penggodam pula mendapat maklumat dalaman daripada orang dalam bank untuk menyasarkan mangsa," katanya.
Tambah beliau, kegiatan itu bukan satu perkara yang asing sekiranya ia didalangi oleh warga asing seperti keturunan Afrika dan China.
Menurutnya, kebanyakan kes scammer bawahan melibatkan kalangan Afrika atau lebih dikenali sebagai 'gagak' menggunakan modus operandi yang sama.
"Kaedah yang digunakan ialah berkawan dengan wanita Melayu dan menggunakan mereka sebagai keldai dengan menggunakan nama mangsa untuk membuka akaun bank sebagai laluan transaksi penipuan ini.
"Wanita itu pula diberikan ganjaran lumayan pada setiap transaksi yang berlaku, tetapi apa yang lebih membimbangkan kebanyakan wanita ini juga akan menjadi pemuas nafsu seks warga Afrika ini," katanya.
Dalam pada itu, Helmi berkata, selain aktiviti penipuan dan penggodam itu, penyamaran wang hasil rasuah juga merupakan kegiatan yang melibatkan orang dalaman bank.
Menurutnya, memandangkan aliran wang rasuah melibatkan transaksi besar, maka ia memerlukan perancangan rapi yang hanya diketahui caranya oleh orang dalaman bank.
"Justeru, mereka yang terlibat dengan rasuah sudah tentu mempunyai modus operandi tersendiri bagaimana aliran ini wang tidak menimbulkan syak wasangka di pihak bank.
"Maka, usaha SPRM menjalankan Ops Sky perlu diteruskan secara bertali arus dalam usaha menjejaki aliran kewangan ke atas akaun bank yang disyaki terlibat dalam tersebut.
"Ini kerana berlaku pelanggaran undang-undang di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

