Bekas pengarah agensi kerajaan minta rasuah ditahan SPRM

Seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini ditahan SPRM Sabah selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM110,000 daripada beberapa syarikat. Gambar hiasan
Seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini ditahan SPRM Sabah selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM110,000 daripada beberapa syarikat. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menerima rasuah kira-kira RM110,000 daripada beberapa syarikat.

Suspek lelaki berusia 50-an ditahan kira-kira jam 2.30 petang Selasa, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.

Menurut sumber, suspek disyaki meminta wang tersebut daripada kontraktor yang mendapat projek pembekalan dengan jabatan tempatnya bertugas.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada awal tahun 2024 dan meminta rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliannya.

"Suspek juga disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta dan pembayaran untuk pembelian motosikal," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"SPRM turut menyita dan merampas semua barangan tersebut," katanya.

Bagaimanapun Karunanithy berkata, suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!