Skandal 1MDB: SPRM, FBI berjaya pulihkan RM90 juta

Kejayaan pemulihan wang membabitkan skandal 1MDB itu berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.
Kejayaan pemulihan wang membabitkan skandal 1MDB itu berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerjasama erat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berjaya memulihkan wang sebanyak USD20 juta (RM90 juta) berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

SPRM dalam satu kenyataannya berkata, kejayaan pemulihan wang membabitkan skandal 1MDB itu berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.

Kenyataan itu berkata, sejumlah wang itu melibatkan Frank White Jr iaitu seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan, DuSable Capital Management LLC (DuSable).

"White Jr secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ, selepas mendapati dana diterima oleh DuSable berasal daripada sumber dikaitkan dengan dana 1MDB disalah gunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan," kata kenyataan itu pada Khamis.

Sehingga kini, jelasnya, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan Malaysia.

Tambahnya, jumlah tersebut tidak termasuk USD20 juta (RM90 juta) yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI, baru-baru ini.

SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang telah diselewengkan daripada beberapa buah negara seperti Kuwait, Hong Kong, United Kingdom serta beberapa buah negara lain di Eropah.

"Usaha ini akan terus diperhebatkan melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan demi kepentingan rakyat dan negara

"SPRM dan kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB," ujar kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!