Insiden tembak Komander AKPS: Polis tahan enam lelaki, seorang wanita

Adzli pada sidang akhbar kes tembak Komander AKPS di IPK Kedah pada Jumaat.
Adzli pada sidang akhbar kes tembak Komander AKPS di IPK Kedah pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR – Polis Kedah menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap seorang komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada awal pagi Rabu.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, suspek ditahan dalam empat serbuan berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada hari sama.

Menurutnya, tangkapan melibatkan enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun dalam operasi bermula pukul 10.30 pagi hingga 6 petang.

"Siasatan mendapati, enam lelaki dan seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang tangkapan itu tinggal berdekatan lokasi kejadian dan mengenali antara satu sama lain.

Dua buah motosikal antara yang dirampas dari suspek untuk membantu siasatan.
Dua buah motosikal antara yang dirampas dari suspek untuk membantu siasatan.

"Hasil semakan juga mendapati empat daripada tangkapan itu mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan jenayah berat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada Jumaat.

Adzli berkata, pasangan suami isteri yang tinggal di Bukit Kayu Hitam itu pula berjaya ditahan di kawasan pemeriksaan pintu sempadan Padang Besar, Perlis pada pukul 12.30 tengah hari dan disyaki hendak melarikan diri ke negara jiran.

Dalam serbuan yang dijalankan, polis turut merampas dua buah motosikal jenis Yamaha dan Honda, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama serta lima set pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mengesan kesan gunshot residue (GSR) pada dua daripada suspek yang ditahan walaupun senjata yang digunakan itu masih belum ditemui buat masa ini.

Jelasnya, kesan GSR itu juga turut dikesan pada kunci dan topi keledar motosikal yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.

"Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai lesen untuk memiliki senjata api," ujarnya.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi positif methamphetamine.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan reman antara dua hingga empat hari untuk siasatan lanjut, manakala wanita berusia 30-an itu pula ditahan reman selama 14 hari dibawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi menyiasat ketulenan dokumen pengenalan diri miliknya.

“Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya lagi.

Pada Rabu, media melaporkan kereta Proton X70 dipandu Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Dua suspek menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata semi automatik ke arah kenderaan mangsa sebelum melarikan diri.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu suspek telah berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.

Ringkasan AI

  • Polis Kedah menahan tujuh individu berhubung kes tembakan terhadap seorang komander AKPS Bukit Kayu Hitam
  • Suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand berusia antara 22 hingga 52 tahun
  • Empat daripada tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan jenayah berat
  • Polis merampas dua buah motosikal, sembilan telefon bimbit, dan lima set pakaian berkaitan kes
  • Kesan gunshot residue ditemui pada dua suspek dan lima daripada mereka positif dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!