[VIDEO] Harta dua anak Mahathir lebih RM1 bilion - SPRM
PUTRAJAYA - Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani telah selesai melakukan pengisytiharan harta mengikut masa yang telah ditetapkan.
Ini bagi membantu siasatan berhubung Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua mereka telah isytihar harta termasuk pegangan aset, saham dan sebagainya selepas notis dikeluarkan.
Azam berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan itu.
"Berhubung Tan Sri Mokhzani, jumlah aset keseluruhan kira-kira RM1 bilion antara aset peribadi RM360 juta selain beberapa aset, pegangan saham dan liabiliti yang ditanggung.
"Begitu juga Mirzan yang keseluruhan harta RM246.2 juta termasuk aset peribadi RM120 juta, saham, liabiliti yang ditanggung dan lain-lain aset," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Selasa.

Tambahnya, siasatan kes ini bagaimanapun masih diteruskan.
Januari tahun lalu, SPRM mengkehendaki dua individu itu untuk mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Berikutan itu, pada 24 Mei, media tempatan melaporkan kedua-dua anak Tun Mahathir memohon lanjutan tempoh pengisytiharan harta.
Mengulas mengenai perkembangan kes babit aset bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isteri Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, Azam menjelaskan, siasatan kes ini masih berjalan.
Ujarnya, SPRM masih lagi membuat siasatan dan pengesanan aset mereka di luar negara berdasarkan data dan keterangan yang diperoleh hasil kerjasama dengan beberapa pihak luar negara.
"Sekiranya ada kesalahan dikesan berkaitan dengan siasatan kami, kita akan membuat permohonan untuk mendapatkan kembali wang berkenaan.
"Ini bukan suatu perkara yang mudah kerana melibatkan negara luar.
"Jadi ini adalah cabaran apabila kita jalankan siasatan yang melibatkan keterangan di luar negara dan hendak kembalikan aset serta proksi yang digunakan," katanya.
Menurutnya, berdasarkan indikator yang diperoleh, wang-wang itu disimpan di luar negara tertentu.
Sebelum itu, pada 19 November lepas, Toh Puan Na'imah menegaskan mahu pendakwaan kes gagal mengisytiharkan harta membabitkan suaminya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diteruskan demi membersihkan nama bekas Menteri Kewangan itu.
Berikutan itu, 22 November lalu, SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Pandora Papers pada Februari 2023 dan ia membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan ketika Daim memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
